Ringgit dalam trend mengukuh, berpotensi capai RM4.20 - Utusan Malaysia

Ringgit dalam trend mengukuh, berpotensi capai RM4.20

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit menunjukkan trend pengukuhan dan berpotensi dijangka mengukuh sehingga paras RM4.20 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam beberapa bulan akan datang.

Penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, prestasi ringgit yang semakin sihat berbanding beberapa mata wang serantau seperti Yen (Jepun) Rupiah (Indonesia) dan Peso (Filipina), mencerminkan kedudukan yang lebih stabil dalam pasaran kewangan.

“Berdasarkan unjuran penganalisis antarabangsa, ringgit dijangka mengukuh sehingga paras RM4.20 berbanding dolar AS dalam beberapa bulan akan datang.

“Agensi penarafan Fitch turut meramalkan ringgit berpotensi mencapai paras RM4.00 berbanding dolar AS.

“Bagaimanapun, meskipun keyakinan pelabur terhadap ringgit masih positif, ketidaktentuan pasaran global terus menyebabkan turun naik nilai mata wang tersebut, yang kini berlegar sekitar RM4.40 berbanding dolar AS.

“Jika trend semasa berterusan, ringgit berpotensi mengukuh ke bawah paras RM4.20 menjelang pertengahan tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelasnya, ringgit stabil juga didorong oleh kejatuhan nilai dolar AS dengan tindakan balas Kanada yang mengenakan tarif import terhadap AS baru-baru ini.

“Keputusan kerajaan AS untuk mengekalkan tarif ke atas Kanada, Mexico, dan China turut menjadi faktor utama penyusutan dolar AS,” ujarnya.

Mengulas mengenai prestasi bursa Malaysia pula, beliau berkata, Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) masih menunjukkan turun naik ketara, dipengaruhi oleh faktor luaran dan dalaman.

“Pada sesi dagangan pagi semalam, indeks utama Bursa Malaysia jatuh lebih 10 mata dan terus mencatatkan sedikit penurunan hari ini.

“Namun begitu, pergerakan bursa tidak mencerminkan sepenuhnya prestasi ekonomi negara, yang dijangka berkembang lebih 5.1 peratus tahun ini.

“Setakat ini, FBM KICK telah meningkat 12.9 peratus sejak awal tahun, tetapi keyakinan pelabur masih teruji dengan ketidaktentuan global.

“Dalam jangka pendek, Bursa Malaysia dijangka berlegar sekitar paras 1,600 mata, sementara sasaran asal 1,700 mata menjelang akhir tahun ini dilihat semakin sukar dicapai dalam keadaan semasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya