Reezal Merican terajui Matrade dua tahun lagi - Utusan Malaysia

Reezal Merican terajui Matrade dua tahun lagi

REEZAL MERICAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) mengumumkan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican akan meneruskan kepimpinannya sebagai Pengerusi Matrade untuk tempoh dua tahun lagi, bermula 18 April 2025.

Pelanjutan tempoh perkhidmatan berdasarkan kejayaan cemerlang dicapai di bawah kepimpinannya semenjak lantikan pertama beliau pada April 2023.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kesinambungan kepimpinan Reezal Merican akan terus membawa kejayaan kepada Matrade dan memperkukuh daya saing eksport Malaysia.

Di bawah kepimpinan beliau, Matrade berjaya meraih pelbagai pencapaian penting dalam meningkatkan nilai eksport negara dan memperkukuh daya saing di peringkat antarabangsa.Pada 2024, nilai eksport meningkat 5.7 peratus kepada RM1.508 trilion, mencapai 87.2 peratus sasaran yang ditetapkan di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).

“Selain itu, beliau turut berperanan dalam kejayaan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) mencapai pengiktirafan global. MIHAS 2023 berjaya meraih Guinness World Record bagi ‘Kehadiran Terbesar Pameran Perdagangan Halal’, manakala, MIHAS 2024 telah mencatatkan nilai jualan tertinggi dalam sejarah iaitu RM4.3 bilion, 34 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan.

Kejayaan ini turut diperluaskan ke peringkat antarabangsa apabila MIHAS diperkenalkan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu dan berjaya mencatat jualan sebanyak RM2.2 bilion.

Reezal Merican turut turun padang mengetuai Misi Akselerasi Eksport (EAM) ke Mesir dan Libya yang berjaya menjana jualan sebanyak RM250 juta, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada pengeksport tempatan untuk menembusi pasaran baharu terutama di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA).

Matrade berkata, pelanjutan tempoh perkhidmatan beliau dijangka akan terus memperkukuh peranan Matrade dalam merangka strategi yang lebih efektif untuk memacu pertumbuhan perdagangan antarabangsa Malaysia.

“Matrade yakin di bawah kepimpinan beliau, organisasi itu akan terus menjadi pemangkin kepada kejayaan pengeksport Malaysia di peringkat global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya