Rakyat Malaysia proaktif tingkat skor kredit tahun lalu - Utusan Malaysia

Rakyat Malaysia proaktif tingkat skor kredit tahun lalu

RAKYAT Malaysia proaktif tingkat skor kredit pada tahun lepas. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia kini semakin proaktif dalam meningkatkan kesihatan kewangan mereka yang menunjukkan peningkatan skor kredit dalam kalangan pengguna, menurut penarafan Experian i-SCORE yang mengkaji trend kredit pengguna pada 2024.

Menurut syarikat data dan teknologi itu, sebanyak 75 peratus individu yang mempunyai penarafan ‘lemah’ pada 2023 berjaya memperbaiki skor mereka, manakala 43 peratus yang berada dalam kategori ‘sederhana’ tahun sebelum turut mencatat peningkatan pada 2024.

Bagaimanapun, sekitar 10 peratus daripada mereka yang mempunyai skor ‘baik’ mengalami penurunan dalam i-SCORE mereka.

“Trend ini menunjukkan kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan pengguna terhadap kepentingan pengurusan kredit yang baik, sekali gus membuka peluang kepada kelulusan pinjaman lebih baik serta kadar faedah lebih rendah.

“Meskipun lebih ramai menunjukkan peningkatan skor kredit, laporan berkenaan turut mendedahkan peningkatan risiko kewangan dalam kalangan pengguna.

“Selain itu, data Experian menunjukkan bahawa 28 peratus individu dalam liputan data syarikat itu berpindah daripada kategori ‘Risiko Sederhana’ kepada ‘Risiko Tinggi’, manakala 24 peratus pengguna yang sebelum ini dikategorikan sebagai ‘Risiko Rendah’ telah beralih kepada ‘Risiko Sederhana’ atau ‘Risiko Tinggi’.

“Situasi ini menandakan peningkatan tekanan kewangan jangka pendek di pasaran dan boleh memberi kesan kepada kadar gagal bayar pinjaman sekiranya tidak ditangani,” katanya dalam kenyataan.

Laporan Experian turut menunjukkan peningkatan dalam penggunaan kad kredit dalam kalangan pengguna, dengan 15 peratus lebih ramai individu kini menggunakan 75 peratus atau lebih daripada had kredit mereka berbanding tahun lalu.

Trend itu konsisten dalam pelbagai kumpulan umur, yang berkemungkinan mencerminkan peningkatan kuasa beli atau tekanan kewangan yang semakin tinggi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Experian Information Services Malaysia, Dawn Lai berkata, sebagai langkah membantu rakyat Malaysia mengurus kewangan mereka dengan lebih baik, Experian melancarkan Bulan Kesihatan Kredit 2025, satu inisiatif nasional yang bertujuan meningkatkan literasi kewangan dan kesedaran kredit.

“Sepanjang bulan ini, semua rakyat Malaysia boleh mendapatkan laporan kredit peribadi dan skor i-SCORE Experian secara percuma.

“Kod penebusan khas akan dikongsi melalui pelbagai saluran kempen bagi membolehkan orang ramai mengambil langkah pertama ke arah kawalan kewangan dan kredit yang lebih baik bersama Experian,” katanya.

Jelasnya, usaha itu selaras dengan komitmen syarikat untuk memperkasakan pengguna dalam mengurus kewangan mereka, dengan menyediakan alat seperti i-SCORE dan Early Warning System (EWS) bagi membantu mereka menavigasi landskap kredit yang semakin berkembang

“Melalui kempen ini, kami berhasrat untuk membekalkan pengetahuan kepada individu agar mereka dapat membuat keputusan kredit yang lebih bijak, sekali gus membina asas kewangan yang lebih kukuh untuk masa depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya