PETALING JAYA: Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), syarikat usaha sama di antara Kumpulan MMC dan APM Terminals yang berpangkalan di Belanda telah menerima kunjungan sulung kapal kontena Damietta Express milik Hapag-Lloyd pada 27 Februari lalu.
Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, kapal tersebut merupakan sebahagian daripada armada kapal kontena terbaharu daripada kelas Hamburg milik Hapag Lloyd dan merupakan antara kapal utama rangkaian Gemini Cooperation yang dilancarkan baru-baru ini.
“Sebagai hab Asia yang utama bagi Gemini Cooperation antara Maersk dan Hapag-Lloyd, PTP memainkan peranan penting dalam membentuk kejayaan perkongsian global ini.
“Kunjungan sulung kapal ini menandakan permulaan kerjasama yang kukuh PTP bersama Hapag-Lloyd, yang kini merupakan antara pelanggan utama PTP,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman berkongsi penghargaan atas perkongsian, kepercayaan dan keyakinan besar Hapag-Lloyd terhadap PTP.
Katanya, peluang untuk PTP menjadi hab utama dalam rangkaian modular baharu di bawah Kerjasama Gemini mula dibincangkan sejak dua tahun lalu.
“Sejak itu, PTP telah menjalankan persiapan rapi dan mempercepatkan pembangunan syarikat demi memastikan terminal kami dilengkapi sepenuhnya untuk menyokong kerjasama strategik tersebut dan turut membuktikan keupayaan kami.
“Di PTP, kami komited untuk mengekalkan tahap produktiviti tinggi dan stabil, walaupun jumlah kendalian meningkat dan permintaan daripada rangkaian Gemini Cooperation berkembang.
“Kestabilan ini adalah penting dalam membawa nilai yang signifikan kepada pelanggan kami. Memastikan kebolehpercayaan jadual sentiasa menjadi teras kepada komitmen kami terhadap pelanggan dan rakan kongsi kami,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kanan Rantau Asia Hapag-Lloyd, Hans Schäfer berkata, dengan rangkaian Gemini Cooperation berjaya dilancarkan pada Februari lalu, pihaknya gembira melihat Damietta Express, satu daripada kapal kontena yang dikuasakan dwi-bahan api berkapasiti 23,600 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) tiba dalam pelayaran sulungnya di PTP.
Semasa di PTP, Damietta Express turut berjaya menjalankan operasi serentak penampungan (SIMOPS) gas asli cecair (LNG) yang merupakan operasi kedua seumpama itu di PTP.
Bunkering LNG SIMOPS pertama telah berjaya dijalankan pada Bangkok Express, kapal kontena dwi-bahan api LNG yang mempunyai kelas dan milikan yang sama dengan Damietta Express oleh Hapag-Lloyd.
Kejayaan SIMOPS LNG ini penting kerana ia menjadikan PTP sebagai terminal pelabuhan pertama di Malaysia yang berjaya menjalankan aktiviti penampungan serentak LNG, menyepadukan kelancaran pengisian bahan api dengan operasi kendalian kargo. – UTUSAN