PETALING JAYA: Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), syarikat usaha sama di antara Kumpulan MMC dan APM Terminals yang berpangkalan di Belanda melancarkan program Perintis, Aspirasi, Tegar dan Unggul (RATU) bagi membantu dan memperkasa golongan wanita yang kurang bernasib baik.
Program tersebut merupakan kerjasama PTP dengan dengan Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT).
Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, inisiatif RATU direka khas untuk memberi tumpuan kepada program peningkatan kemahiran dan kesejahteraan sosioekonomi bagi golongan kurang bernasib baik dalam kalangan komuniti sekitar Gelang Patah, Iskandar Puteri, Johor Bahru dan Pasir Gudang.
“Kami meraikan seramai 30 peserta pertama bagi program sulung ini, yang tergolong dalam kalangan kumpulan B40 termasuk ibu tunggal dan mereka yang kurang bernasib baik,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, PTP kekal teguh dalam menyokong kepelbagaian, ekuiti dan keterangkuman (DEI) sebagai komponen teras agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kumpulan.
“Di luar kerangka inisiatif RATU, kami juga memastikan objektif kami sejajar dengan aspirasi Ekonomi Madani yang berusaha meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja, Jelasnya, usaha proaktif kumpulan untuk memupuk tenaga kerja yang pelbagai dan inklusif merupakan refleksi komitmen kami untuk memperkasakan wanita di tempat kerja,” katanya.
Che Khalib berkata, pihaknya turut bangga dapat melahirkan malim pelabuhan wanita dan pengendali kren gantri tayar getah (RTG) wanita pertama di Malaysia di samping peningkatan bilangan pemandu-pemandu lori pelabuhan wanita.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail @ Md On menyifatkannya program itu sebagai perkongsian strategik yang tertumpu untuk mewujudkan impak berterusan kepada masyarakat, khususnya kumpulan wanita yang kurang bernasib baik di seluruh Johor.
“Saya yakin dan optimis bahawa sinergi antara PTP, JPA dan YPKDT ini bukan sahaja akan meningkatkan impak dan kemampanan usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR), tetapi juga menjadi pemangkin kepada inisiatif berterusan dalam mengubah kehidupan, membentuk masyarakat yang lebih progresif dan inklusif,” katanya.
Selain itu, PTP turut mencapai pengiktirafan berprestij sebagai pelabuhan kontena kelima paling cekap di dunia oleh The World Bank dan S&P Global Market Intelligence dalam Indeks Prestasi Pelabuhan Kontena 2023 yang diumumkan pada awal Jun 2024 dan menduduki tempat ke 15 pelabuhan paling sibuk di dunia seperti dilaporkan oleh Lloyd’s List pada tahun yang sama. – UTUSAN