Proton e.Mas 7 terajui ASEAN Unity Drive 2025 - Utusan Malaysia

Proton e.Mas 7 terajui ASEAN Unity Drive 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton New Energy Technology (Pro-Net), anak syarikat Proton Holdings Bhd., menjadi penaja utama ASEAN Unity Drive 2025, sebuah inisiatif penting yang bertujuan memajukan penerimaan kenderaan elektrik (EV) di seluruh ASEAN.

Acara ini bakal menampilkan kenderaan elektrik (EV) nasional pertama Malaysia, Proton e.MAS 7, bersama Proton X50 dan X70 dalam merentasi sembilan negara ASEAN.

Selaras dengan agenda EV nasional, inisiatif ini mengukuhkan kerjasama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), sekali gus meletakkan Pro-Net sebagai peneraju utama dalam memacu penerimaan EV di ASEAN.

Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang berkata, menyertai ASEAN Unity Drive 2025 adalah satu pencapaian yang membanggakan bagi Pro-Net dengan usahanya menerajui peralihan ke arah mobiliti elektrik.

“Susulan kejayaan Jelajah e.MAS 7 sebelum ini, acara ini menjadi peluang terbaik untuk e.MAS 7 mempamerkan keupayaannya di pentas antarabangsa.

“Melalui kerjasama kami dengan MARii dan sokongan terhadap Pengerusi ASEAN, PRO-NET sekali lagi menegaskan komitmennya terhadap mobiliti lestari.” katanya dalam kenyataan.

Acara ‘Flag off’ rasmi ASEAN Unity Drive 2025 berlangsung hari ini di Menara MITI, Kuala Lumpur, dengan kehadiran Menteri MITI, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Yang turut hadir, Pengerusi MARii, Datuk Dr Aminar Rashid; Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Azrul Reza Aziz; Pengerusi Proton, Tan Sri Syed Faisal Albar serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah.

Sementara itu, Qiang berkata, e.MAS 7 melambangkan visi syarikat untuk mobiliti hijau yang lestari, boleh dipercayai dan praktikal serta akan menerajui perjalanan merentasi ASEAN ini.

“Peranan kami sebagai kereta rasmi untuk Pengerusi ASEAN, seperti yang diiktiraf oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengukuhkan kedudukan kami dalam peralihan EV di rantau ini,” ujarnya.

ASEAN Unity Drive 2025 akan berlangsung dari 16 April hingga 8 Mei 2025, merangkumi dua laluan berbeza.

Laluan Utara adalah Hanoi (Vietnam), Vientiane (Laos), Phnom Penh (Kemboja), Bangkok (Thailand), Georgetown (Pulau Pinang) dan Kuala Lumpur (Malaysia)

Laluan Selatan pula bermula dari Manila (Filipina), Sabah (Malaysia), Bandar Seri Begawan (Brunei), Sarawak (Malaysia), Jakarta (Indonesia), Singapura dan Kuala Lumpur (Malaysia).

ASEAN Unity Drive 2025 berfungsi sebagai platform yang berkuasa bagi Pro-Net untuk mempamerkan e.MAS 7 sebagai penyelesaian yang praktikal dan lestari untuk pengguna di seluruh ASEAN.

Sepanjang perjalanan ini, e.MAS 7 akan menjalani ujian prestasi dunia sebenar, mempamerkan jarak, kecekapan dan keupayaannya menyesuaikan diri merentasi pelbagai jenis bentuk muka bumi.

Untuk maklumat lanjut, ikuti saluran media sosial rasmi Proton e.MAS: Facebook (Proton e.MAS Cars), Xiaohongshu (Proton e.MAS Cars), TikTok (@protonemasofficial) dan Instagram (@protonemasofficial). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya