PETALING JAYA: Proton New Energy Technology (Pro-Net), mencatatkan pencapaian baharu dalam landskap kenderaan elektrik (EV) Malaysia apabila Proton e.MAS 7 Prime melengkapkan perjalanan pergi dan balik sejauh 352 kilometer (km) dari Shah Alam ke Melaka dan Port Dickson dengan hanya satu cas.
Pro-Net berkata, ia sekali gus membuktikan keupayaan jarak jauh produk yang mengagumkan melalui siaran langsung jelajah EV sulungnya.
Katanya, ujian ini adalah untuk mengesahkan ketepatan julat WLTP 345 km e.MAS 7 Prime sambil menyerlahkan praktikalitinya dalam ekosistem EV Malaysia yang semakin berkembang.
“Jelajah ini bermula dari Proton Centre of Excellence (COE) dan singgah seketika di hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban sebelum meneruskan perjalanan menghala ke pengedar Proton e.MAS di Melaka dan kembali melalui jalan raya yang sama.
“Ujian ini meliputi perjalanan di lebuh raya, lalu lintas bandar dan pelbagai keadaan pemanduan dimana ia bertujuan untuk merasai pengalaman memandu kenderaan elektrik yang sebenar.
“Pada akhir perjalanan, Proton e.MAS 7 mencatatkan jumlah jarak sejauh 352 km dengan berbakikan jarak 43km, menjadikan jumlah keseluruhannya 395 km, lebih jauh dari julat rasmi WLTP,” katanya dalam kenyataan.
Sepanjang perjalanan, Pro-Net turut menyediakan maklumat prestasi kenderaan, mengukuhkan keyakinan terhadap kecekapan bateri, pengurusan tenaga dan keupayaan jarak jauh kenderaan ini.
Perjalanan EV secara langsung mempamerkan ketelusan dan keyakinan dalam pemanduan jarak jauh.
Dalam satu pencapaian bagi jenama automotif Malaysia, Pro-Net menyiarkan keseluruhan perjalanan secara langsung, memberikan penonton pandangan bagaimana Proton e.MAS 7 Prime beraksi.
Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang menyatakan bahawa siaran langsung ni menunjukkan komitmen syarikat dalam menyediakan mobiliti Lestari.
“Model Proton e.MAS 7 direka untuk memberikan kemudahan sebenar kepada pemilik dan mampu bergerak jauh tanpa sebarang masalah dalam memastikan pengalaman memandu yang lancar untuk pemandu di Malaysia.
“Inisiatif ini telah menetapkan standard baru dalam keyakinan terhadap jarak perjalanan dan pengalaman memiliki kenderaan dengan harapan lebih ramai rakyat Malaysia akan beralih kepada kereta elektrik dengan penuh keyakinan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Penjenamaan Pro-Net,Salawati Mohd Yusoff, bersama pakar produk dari Pro-Net dan pempengaruh dalam mobiliti EV membincangkan aspek penting bagi pemilikan EV, termasuk jarak pemanduan, infrastruktur pengecasan, pengurusan bateri dan teknologi EV terkini.
“Perjalanan ini menunjukkan bahawa kenderaan elektrik sesuai untuk pelbagai gaya hidup. Sama ada untuk pergi bekerja, menguruskan urusan harian sebagai ibu bapa yang sibuk, menjalankan perniagaan kecil, atau melakukan pengembaraan yang jauh.
“Ramai orang bimbang akan jarak pemanduan kenderaan elektrik, tetapi ujian ini membuktikan bahawa Proton e.MAS 7 sebenarnya boleh pergi lebih jauh, memberikan keyakinan seperti memandu kereta biasa.
“Kami sangat gembira melihat lebih ramai rakyat Malaysia sedang beralih kepada kenderaan elektrik. Kami akan memastikan peralihan ini diberi kemudahan yang lancar untuk semua orang,” katanya.
Jelajah ini bukan sahaja membuktikan kecekapan sebenar Proton e.MAS 7 Prime, tetapi juga menonjolkan permintaan pasaran yang kukuh terhadap kenderaan EV Proton. – UTUSAN