Projek ECRL capai kemajuan 79.95 peratus setakat Februari - Utusan Malaysia

Projek ECRL capai kemajuan 79.95 peratus setakat Februari

PEMBINAAN projek ECRL sepanjang 665 kilometer dijangka siap pada menjelang akhir 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), yang merentasi 665 kilometer dari Kota Bharu, Kelantan ke Pelabuhan Klang, Selangor, telah mencapai kemajuan keseluruhan sebanyak 79.95 peratus setakat Februari lalu.

Tahun ini menandakan peralihan penting daripada kerja-kerja bawah tanah kepada pembinaan berskala besar di atas tanah, dengan pemasangan sistem di sepanjang jajaran kini sedang giat dijalankan.

Fasa kritikal ini akan mempercepatkan kemajuan ke arah penyempurnaan projek menjelang 2027.

Sepanjang tempoh ini, China Communications Construction (ECRL) Sdn. Bhd. (CCC-ECRL) telah membentuk kerjasama erat dengan lebih daripada 2,000 subkontraktor, pembekal dan perunding di seluruh Malaysia, menyumbang kepada kejayaan pembangunan infrastruktur mercu tanda ini.

CCC-ECRL yang juga kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi projek ECRL memberi Anugerah Kecemerlangan 2024 kepada 18 vendor tempatan, termasuk perunding dan subkontraktor sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan cemerlang mereka dalam projek ECRL.

Pengarah Urusan CCC-ECRL, Kong Qi berkata, kejayaan projek ECRL adalah hasil daripada komitmen teguh rakan kongsi tempatan.

“Kepakaran, ketahanan dan pematuhan mereka terhadap piawaian industri yang tinggi telah menjadi pemacu utama kemajuan projek ini.

“Anugerah ini bukan sahaja sebagai pengiktirafan terhadap usaha mereka, tetapi juga sebagai bukti kukuh kepada perkongsian erat yang telah kita bina dalam merealisasikan projek infrastruktur nasional ini,” katanya dalam kenyataan.

Memasuki tahun kelima penganjurannya, anugerah kecemerlangan ini terus menekankan peranan penting yang dimainkan oleh pihak industri tempatan dalam menyokong pembangunan ECRL.

Penerima anugerah tahun ini telah menunjukkan prestasi luar biasa dalam pelbagai bidang utama, termasuk dalam bidang Pengurusan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE), jaminan kualiti, pelaksanaan projek serta pengurusan sumber yang cekap.

Yusri Maju Sdn. Bhd., sebuah subkontraktor yang berpangkalan di Kelantan dan juga salah seorang penerima anugerah tahun ini, diiktiraf atas kepakarannya dalam kerja-kerja binaan dan struktur, termasuk kerja tanah, aktiviti geoteknikal serta pelaksanaan sistem saliran yang cekap.

Ini merupakan kali ketiga berturut-turut syarikat tersebut menerima Anugerah Kecemerlangan, menandakan komitmen teguh mereka terhadap kualiti dan kecemerlangan dalam projek ECRL.

Ketua Pegawai Operasi Yusri Maju Sdn. Bhd., Khairul Annuar Mat Saman berkata, menerima Anugerah Kecemerlangan daripada CCC-ECRL untuk tahun ketiga berturut-turut adalah bukti kekuatan kerja berpasukan dan kerjasama positif syarikat.

Katanya, kejayaan pihaknya didorong oleh pemahaman yang jelas tentang projek, penggunaan sumber yang cekap, serta koordinasi rapat dengan semua pihak berkepentingan.

“Perkongsian ini juga telah membuka peluang kepada pertukaran ilmu mengenai kejuruteraan maju dan budaya kerja antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya