Prestasi perdagangan kekal mantap pada Februari - Utusan Malaysia

Prestasi perdagangan kekal mantap pada Februari

PRESTASI perdagangan Malaysia terbaik dalam 11 bulan pertama 2024. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah dagangan catat pertumbuhan berterusan 5.9 peratus kepada RM223.9 bilion pada Februari, didorong oleh peningkatan eksport, import serta imbangan dagangan yang lebih baik.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin menekankan bahawa pertumbuhan eksport Malaysia didorong oleh peningkatan dalam eksport domestik dan eksport semula pada Februari 2025.

“Eksport domestik, yang merangkumi 82 peratus daripada jumlah eksport, meningkat 5.9 peratus kepada RM97 bilion, manakala eksport semula yang menyumbang 18 peratus daripada jumlah eksport, berkembang 7.3 peratus kepada RM21.3 bilion berbanding Februari 2024.

“Selain itu, import berjumlah RM105.6 bilion, meningkat 5.5 peratus atau RM5.5 bilion. Lebihan dagangan bertambah baik 12.2 peratus, mencecah RM12.6 bilion, menandakan lebihan bulan selama 58 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.

“Walau bagaimanapun, perbandingan bulan ke bulan dengan Januari 2025 menunjukkan penurunan dalam eksport, import dan jumlah dagangan, masing-masing merosot 3.7 peratus, 11.3 peratus, dan 7.5 peratus, manakala imbangan dagangan mencatatkan peningkatan mendadak 244.8 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Melihat dari sudut kumpulan barangan, sebanyak 134 daripada 256 kumpulan eksport dan 135 daripada 259 kumpulan import menunjukkan peningkatan berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Mohd. Uzir berkata, eksport yang lebih tinggi disumbangkan terutamanya ke Amerika Syarikat (AS) (+RM3.9 bilion), diikuti oleh Singapura (+RM2.7 bilion), Hong Kong (+RM1.8 bilion), Kesatuan Eropah (+RM674.0 juta), Thailand (+RM600.4 juta), Indonesia (+RM362.2 juta) dan Mexico (+RM347.7 juta).

Katanya, selain itu, import yang lebih tinggi dari China (+RM2.8 bilion), diikuti oleh AS (+RM2.2 bilion), Taiwan (+RM1.8 bilion), Vietnam (+RM625.5 juta), Thailand (+RM531.9 juta), Indonesia (+RM528.4 juta) dan Ecuador (+RM520.3 juta).

Mengulas mengenai eksport, ujarnya, kenaikan ini sejajar dengan peningkatan dalam barangan elektrik dan elektronik (+RM7.2 bilion), minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasaskan kelapa sawit (+RM1.5 bilion), barangan perkilangan lain (+RM846.8 juta), jentera, kelengkapan dan peralatan (+RM642.5 juta), barangan optik dan saintifik (+RM529.4 juta) serta makanan diproses (+RM487.9 juta).

Di samping itu, peningkatan import dicatatkan bagi barangan elektrik dan elektronik (+RM6.8 bilion), keluaran pertanian yang lain (+RM1.9 bilion), kelengkapan pengangkutan (+RM1.8 bilion), petroleum mentah (+RM1.1 bilion), jentera, kelengkapan dan peralatan (+RM855.6 juta), dan barangan perkilangan lain (+RM407.6 juta).

Mohd. Uzir berkata, pertambahan import mengikut penggunaan akhir adalah seiring dengan permintaan yang lebih tinggi bagi barangan modal, barangan penggunaan dan barangan perantaraan.

Katanya, import barangan modal (13.1 peratus daripada jumlah import) meningkat 35.3 peratus atau RM3.6 bilion, mencatatkan nilai RM13.8 bilion. Import barangan penggunaan (8.6 peratus daripada jumlah import) naik 7.4 peratus atau RM625.5 juta, mencapai RM9.0 bilion.

“Import barangan perantaraan (55.6 peratus daripada jumlah import) bernilai RM58.7 bilion, mencatatkan peningkatan 5.8 peratus atau RM3.2 bilion berbanding Februari 2024. Jumlah dagangan, eksport dan import bagi tempoh Januari hingga Februari 2025 mencatatkan peningkatan.

“Jumlah dagangan meningkat 4.4 peratus, daripada RM446.1 bilion kepada RM465.9 bilion, sejajar dengan kenaikan eksport (+3.1 peratus) serta import (+5.9 peratus). Sebaliknya, lebihan dagangan menurun 24.0 peratus kepada RM16.3 bilion,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya