PHB catat untung RM117.2 juta, terbaik dalam sejarah - Utusan Malaysia

PHB catat untung RM117.2 juta, terbaik dalam sejarah

Mohamad Damshal Awang Damit
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) mencatatkan prestasi paling kukuh dalam sejarahnya dengan keuntungan bersih sebanyak RM117.2 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (TK2024), lebih tiga kali ganda berbanding RM31.7 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Prestasi kewangan yang baik itu didorong oleh hasil tertinggi sejak penubuhannya iaitu sebanyak RM464.4 juta, peningkatan 17 peratus daripada RM396 juta pada 2023, disokong oleh pendapatan sewa yang lebih tinggi, kadar penghunian yang lebih baik, serta sumbangan daripada aset utama yang baru siap dibangunkan.

Pendapatan Bersih Hartanah (NPI) meningkat sebanyak 25 peratus kepada RM275.2 juta, mencerminkan pengurusan aset yang berkesan dan disiplin dalam kawalan kos ke atas portfolio aset hartanah yang diurus PHB.

Pertumbuhan hasil PHB disokong oleh pasaran runcit yang lebih kukuh, peningkatan pendapatan berkaitan hartanah, serta penyiapan dua pembangunan utama iaitu Mayang Mall di Kuala Terengganu dan Gudang Maersk LF Logistics di Shah Alam, masing-masing menyumbang kepada peningkatan pendapatan sewa, dengan Mayang Mall mencapai kadar penghunian melebihi 80 peratus setakat 31 Disember 2024.

Kos pinjaman menurun sebanyak 13 peratus kepada RM38.4 juta berikutan penerbitan sukuk bernilai RM1.5 bilion oleh PHB pada September 2024.

Permintaan pasaran dengan lebihan langganan sebanyak 2.2 kali telah mengurangkan kos pembiayaan PHB, dengan anggaran penjimatan sebanyak RM14 juta yang akan dimanfaatkan sepenuhnya pada TK2025.

Keuntungan operasi turut meningkat sebanyak 28 peratus kepada RM407 juta, berbanding RM317.2 juta pada tahun sebelumnya, didorong oleh pendapatan yang lebih tinggi dan kecekapan pengurusan kos.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Mohamad Damshal Awang Damit berkata, kejayaan mencapai hasil dan keuntungan tertinggi sejak penubuhan syarikat adalah bukti kekuatan strategi serta pelaksanaan berdisiplin kumpulan, selain kepercayaan yang diberikan oleh pihak berkepentingan.

“Rancangan perniagaan tiga tahun kami memberi tumpuan kepada pertumbuhan portfolio jangka panjang sambil memastikan kami kekal tangkas dalam pasaran yang dinamik. PHB kekal komited terhadap strategi pelaburan yang berhemat dan kekal peka terhadap risiko, bagi
memastikan pertumbuhan yang mampan sambil melindungi nilai aset.

“Kami kini memperluaskan pelaburan ke dalam sektor berpotensi tinggi seperti penjagaan kesihatan, perindustrian dan pendidikan, selain mengukuhkan kedudukan kami di pasaran baharu termasuk Pantai Timur, Sabah dan Sarawak serta penglibatan secara aktif dalam
pembangunan hartanah, terutamanya di Tanah Rizab Melayu.

“Syarikat juga sedang memperkukuh struktur pajakan dengan mendapatkan penyewa jangka panjang yang mempunyai penarafan kredit yang tinggi, sekali gus memastikan kestabilan pendapatan sewa dan aliran tunai yang konsisten,” katanya dalam kenyataan.

Prestasi baik kewangan PHB pada 2024 membolehkan pengagihan dividen keseluruhan berjumlah RM231.5 juta, yang memberi manfaat secara langsung kepada kira-kira 82,000 pelabur Bumiputera AHB.

Syarikat juga terus mengukuhkan kedudukan kewangannya dengan penarafan kredit AAA/Stabil daripada RAM Ratings dan Penarafan Kelestarian Emas 3 daripada RAM Sustainability, menekankan komitmennya terhadap kekuatan tadbir urus dan kemampanan kewangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya