KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) melancarkan filem web pendek berjudul ‘Anak Siapa Ni?’ bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025.
Filem arahan Ismail Kamarul itu mengisahkan seorang pemuda, Rafi dari Shah Alam, Selangor yang dipaksa ibunya untuk menziarahi sepupu ayahnya di Seri Menanti, Negeri Sembilan.
Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik, Perhubungan Strategik Kumpulan dan Komunikasi Petronas, Siti Azlina Abd Latif berkata filem itu mengetengahkan amalan kunjung-mengunjung bagi mengeratkan silaturrahim terutama pada musim perayaan.
“Ini adalah antara perkara yang Petronas ingin ketengahkan. Kita teruskan amalan kunjung mengunjung sempena musim perayaan akan datang,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa dan Pratonton Eksklusif Filem Web Petronas bersama Media, di sini semalam.
Menurut Siti Azlina, filem ini berlatar belakangkan Negeri Sembilan yang kaya dengan warisan, menampilkan dialek asli negeri tersebut serta seni bina Minangkabau yang memukau, menambah keaslian kepada jalan ceritanya.
Katanya, filem web pendek itu mengisahkan seorang lelaki muda Rafi, yang pulang ke rumah selepas belajar di luar negara dan mengunjungi rumah saudara mara atas nama ibunya.
“Setibanya di sana, saudara mara tersebut tidak mengenalinya, yang menambahkan rasa janggal dan tidak selesa kepadanya.
“Sebagai sebahagian daripada tradisi ‘balik kampung’ di mana keluarga-keluarga kembali ke kampung halaman semasa Hari Raya untuk bertemu semula, Rafi mengalami sendiri kegembiraan dan kehangatan yang dibawa oleh kunjungan tersebut kepada kedua-dua pihak, tetamu dan tuan rumah.
“Walaupun dengan kejutan dan kekeliruan awal, Rafi perlahan-lahan menyedari bahawa lawatan tersebut lebih daripada sekadar tradisi, ia adalah peluang untuk berhubung semula dan memperdalamkan hubungan selalunya dengan cara yang paling tidak dijangka dan mengejutkan,” katanya.
Sementara itu, Siti Azlina turut memaklumkan Petronas juga menyerahkan sumbangan Memacu Kehidupan Yayasan Petronas kepada 4,850 buah keluarga menerusi program Impak Sosial Petronas.
“Sumbangan itu dilaksanakan bersama rakan strategik kami, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
Dalam pada itu, Petronas turut membawa khas pengusaha dan usahawan wanita dari Kemaman, Terengganu yang terlibat dalam program Menyemai Masa Hadapan dan menghasilkan sabun daripada minyak masak terpakai.
“Selain itu, kami juga bawakan produk-produk yang dihasilkan daripada bahan buangan plastik dan tekstil daripada komuniti yang terlibat daripada Bintulu, Sarawak dan juga Kota Kinabalu, Sabah,” katanya. – UTUSAN