Permohonan lesen insurans, takaful digital dapat sambutan - Utusan Malaysia

Permohonan lesen insurans, takaful digital dapat sambutan

ABDUL RASHEED ABDUL GHAFFOUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) menerima sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak untuk mengemukakan permohonan lesen Penanggung Insurans dan Pengendali Takaful Digital (DITO), dalam tempoh tiga bulan sejak dibuka pada 2 Januari 2025.

Menurut bank pusat, sambutan positif itu mencerminkan keyakinan yang utuh untuk memperluas inovasi industri insurans dan takaful.

“Sesi perbincangan dengan pemohon yang berminat sedang dijalankan dan tempoh permohonan akan dibuka hingga 31 Disember 2026.

“BNM akan mengumumkan permohonan yang berjaya semasa atau selepas tempoh permohonan, jika ada,” katanya dalam kenyataan.

Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, usaha untuk merapatkan jurang perlindungan insurans masih tidak mencukupi, khususnya dalam kalangan segmen masyarakat yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan dan tidak mendapat perkhidmatan kewangan.

“Sebagai contoh, kurang separuh daripada rakyat Malaysia mempunyai perlindungan insurans hayat atau takaful keluarga. Oleh itu, industri insurans dan takaful perlu melaksanakan inovasi merapatkan jurang ini dan membantu pengguna untuk lebih bersedia menghadapi kejadian yang tidak dijangka.

“Dengan penggunaan teknologi dan kemajuan digital dengan lebih berkesan, penanggung insurans dan pengendali takaful mampu menangani cabaran dari segi penawaran dan permintaan.

“Ia sekali gus akan menghasilkan tawaran produk yang lebih khusus dan pelbagai selain tawaran perkhidmatan insurans dan takaful tradisional,” katanya.

Beliau berkata, BNM berharap DITO dapat mengukuhkan lagi sistem kewangan dengan tawaran yang lebih inklusif, berdaya saing dan cekap, selaras dengan keperluan pengguna yang semakin berkembang.

“Dengan mengambil kira prospek ini, DITO dijangka dapat menawarkan nilai yang bermakna dari segi rangkuman, persaingan dan kecekapan.

“Pemohon perlu memahami dan menangani keperluan perlindungan segmen pengguna yang mesra digital dengan menawarkan produk dan perkhidmatan yang bersesuaian.

“Pemohon juga perlu mempertingkatkan kecekapan keseluruhan operasi untuk memastikan pengalaman pelanggan yang lancar.

“Bersama-sama dengan ITO sedia ada, DITO mampu mengukuhkan lagi sistem kewangan dengan menggalakkan inovasi yang bertanggungjawab untuk rakyat Malaysia serta menyokong matlamat yang digariskan dalam Pelan Sektor Kewangan 2022 hingga 2026,” ujarnya.

BNM menegaskan semua pemohon yang berminat perlu melakukan perbincangan dengan BNM sebelum mengemukakan permohonan rasmi.

Oleh itu, pemohon yang berminat perlu mendapatkan sesi perbincangan dengan menghantar e-mel kepada [email protected].

Selain itu, pemohon yang berminat juga perlu memenuhi kriteria yang digariskan dalam Dokumen Dasar Rangka Kerja Pelesenan dan Pengawalseliaan DITO. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya