PETALING JAYA: Pusat Pilihan Pengguna (CCC) menggesa kerajaan mengkaji semula dan meminda rangka kerja e-invois sedia ada dengan mengecualikan perniagaan kecil dalam talian dengan pendapatan tahunan RM150,000 atau kurang.
Wakil CCC, Tarmizi Anuwar berkata, di bawah dasar semasa, perniagaan fizikal kecil dengan kadar pendapatan yang sama dikecualikan daripada e-invois, manakala perniagaan dalam talian masih diwajibkan mematuhi keperluan tersebut.
Ujarnya, layanan tidak adil terhadap perniagaan kecil berdasarkan saluran jualan mereka sama ada fizikal atau dalam talian yang meletakkan bebanan tidak perlu ke atas usahawan mikro dan kecil dalam talian ini amat membimbangkan.
“Ketidaksamaan ini juga boleh menyebabkan peningkatan kos yang akhirnya dibebankan kepada pengguna, sekali gus menjejaskan harga produk dan kepelbagaian pilihan di pasaran.
“Justeru, sebagai sebuah persatuan pengguna, kami amat prihatin bahawa dasar e-invois semasa yang secara tidak adil membebankan peniaga kecil dalam talian, yang kebanyakannya terdiri daripada rakyat Malaysia yang berusaha mencari rezeki,” katanya dalam kenyataan.
Tegasnya, tidak masuk akal bahawa kedai fizikal kecil dikecualikan, tetapi perniagaan dalam talian dengan skala yang sama terpaksa menanggung kos pematuhan dan beban pentadbiran tambahan.
“Ketidakseimbangan seperti ini bukan sahaja menghalang keusahawanan digital, malah boleh mengurangkan persaingan pasaran yang sihat, sekali gus menjejaskan pilihan dan harga untuk pengguna.
“Kebanyakan perniagaan dalam talian sudah menggunakan e-dompet, perbankan dalam talian dan platform pembayaran digital yang secara automatik menjana rekod transaksi.
“Daripada mengenakan langkah pematuhan yang ketat, pembuat dasar sepatutnya mengiktiraf bahawa penggunaan pembayaran digital itu sendiri sudah meningkatkan akauntabiliti kewangan tanpa membebankan usahawan kecil,” ujarnya.
Katanya, kerajaan perlu mewujudkan dasar yang lebih adil dengan memberikan pengecualian yang sama kepada perniagaan kecil dalam talian.
“Menyokong pertumbuhan perniagaan kecil, tanpa mengira sama ada mereka beroperasi secara dalam talian atau luar talian, akan memastikan pengguna mendapat manfaat daripada rangkaian produk dan perkhidmatan yang lebih mampu milik, di samping menggalakkan pembangunan ekonomi digital yang adil dan inklusif di Malaysia,” katanya. – UTUSAN