Pembuat dasar tidak perlu panik dasar ekonomi Trump - Utusan Malaysia

Pembuat dasar tidak perlu panik dasar ekonomi Trump

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekonomi global perlu membiasakan dengan dasar ekonomi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang tidak konsisten dan sering terburu-buru dalam mengumumkan sesuatu dasar seperti pelaksanan tarif terhadap industri automotif.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pusingan U dalam dasar yang dilaksanakan juga adalah suatu perkara yang boleh dianggap lumrah kerana pemerintahan beliau tidak mengikut corak ahli politik arus perdana.

“Justeru, situasi seperti ini bakal menimbulkan kegusaran dalam kalangan para pelabur, para pedagang saham, ahli perniagaan serta kerajaan-kerajaan di serata dunia.

“Oleh itu, perkara penting yang perlu diingatkan kepada pembuat dasar adalah tidak panik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut beliau, pada masa yang sama perlu melaksanakan dasar ekonomi yang pragmatik serta memastikan setiap sumber yang dibelanjakan menepati sasaran.

Ujarnya, hal ini kerana dalam keadaan semasa memerlukan setiap negara memastikan ekonomi mereka sentiasa mengukuh dan mempunyai daya tahan yang tinggi terhadap perubahan dasar ekonomi luaran.

“Ia termasuk memastikan negara mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan produk sendiri dan mengurangkan kebergantungan terhadap import contohnya, sektor agromakanan yang sentiasa mencatatkan kenaikan dalam import yang mana tahun lalu negara mencatatkan import agromakanan berjumlah RM93.8 billion berbanding RM78.8 billion pada 2023.

“Perkara in menyebabkan imbangan defisit dalam sektor agromakanan yang berjumlah RM39.3 billion dan ianya terus melebar saban tahun.Ini adalah kerana semua negara terkesan akibat dasar ekonomi Trump dan sudah tentu banyak negara mahu menjalinkan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan lebih erat dalam era pemerintahan Presiden Trump.

“Oleh itu, pembuat dasar perlu memastikan apakah perkara yang boleh dikawal dan apa pula yang di luar kawalan mereka. Sudah tentu dasar ekonomi Trump adalah sesuatu yang di luar kawalan pembuat dasar di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, kesan tarif terhadap industri automatif kepada negara tidak signifikan.

“Hal ini kerana industri automatif negara banyak bergantung kepada industri di Jepun dan Asia.

“Bagaimanapun, kesan kecil masih terasa terutamanya komponen semi konduktor yang diimport dari AS. Contohnya komponen elektronik dalam kenderaan,” katanya.

Terdahulu, Trump mengesahkan bakal melaksanakan tarif terhadap industri automotif yang mana akan dikuatkuasakan dalam masa terdekat.

Namun tidak semua cukai import yang dirancang akan bermula pada 2 April, memberi isyarat kemungkinan kelonggaran kepada beberapa negara.

Langkah itu mendorong kenaikan dalam pasaran saham Wall Street, dengan pelabur melihat ruang fleksibiliti dalam dasar perdagangan AS.

Pada masa sama, Trump membuka satu lagi medan perang perdagangan global apabila mengenakan tarif sekunder sebanyak 25 peratus terhadap mana-mana negara yang membeli minyak atau gas dari Venezuela, sekali gus melonjakkan harga minyak dunia.

Ketika bercakap di Rumah Putih, Trump berkata tidak semua tarif baharu akan diumumkan pada 2 April dan beberapa negara mungkin diberi pengecualian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya