Pelaburan swasta dijangka berkembang 6.2 peratus tahun ini - Utusan Malaysia

Pelaburan swasta dijangka berkembang 6.2 peratus tahun ini

PELABURAN swasta dijangka meningkat tahun ini walaupun berdepan pelbagai risiko perdagangan global. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaburan swasta dijangka berkembang pada kadar yang kukuh sebanyak 6.2 peratus pada 2025 (2024: +12.3 peratus), walaupun risiko daripada ketidaktentuan perdagangan telah meningkat, kata CIMB Securities Sdn. Bhd.

Ahli Ekonomi Kanannya, Vincent Loo berkata, ini seiring dengan jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak lima peratus (2024: +5.1 peratus), dengan sektor seperti ekonomi digital, teknologi hijau, elektrik dan elektronik (E&E), logistik dan perkhidmatan kewangan bersedia untuk mendapat manfaat.

“Landskap pelaburan Malaysia kekal disokong oleh insentif dasar strategik, pembangunan infrastruktur dan pertumbuhan berterusan sektor berimpak tinggi seperti pusat data, tenaga boleh diperbaharui dan pembuatan bernilai tinggi.

“Selain itu, kami menjangkakan pelaburan langsung asing (FDI) akan terus berkembang pada 2025, berikutan peningkatan 17.4 peratus pada 2024, sejajar dengan aliran pelaburan global yang lebih luas.

“Ini berlaku apabila Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyasarkan pertumbuhan lima peratus dalam pelaburan yang diluluskan pada 2025, berdasarkan pengembangan 14.9 peratus tahun sebelumnya kepada RM378.5 bilion,” katanya dalam nota penyelidikan.

Beliau berkata, walaupun menghadapi cabaran luar, landskap politik dan pelaburan Malaysia yang bertambah baik serta permintaan domestik yang kukuh akan terus menyokong daya tahan ekonomi.

“Kami mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK 2025 kami pada lima peratus buat masa ini (2024: +5.1%), sejajar dengan unjuran kerajaan sebanyak 4.5 hingga 5.5 peratus, sambil memantau dengan teliti dinamik perdagangan global yang berkembang,” ujarnya.

Menurutnya, Malaysia telah mencatatkan peningkatan ketara dalam kepentingan FDI dalam beberapa tahun kebelakangan ini, mencerminkan gabungan peralihan rantaian bekalan global dan langkah kerajaan yang proaktif.

Ujarnya, faktor-faktor seperti lencongan perdagangan akibat ketegangan geopolitik, strategi China+1 dan landskap politik Malaysia yang bertambah baik, di samping hala tuju dasar telah meletakkan negara sebagai destinasi pelaburan yang menarik.

“Ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, ditambah pula dengan gangguan rantaian bekalan global, telah mempercepatkan kepelbagaian perdagangan dan pelaburan.

“Strategi China+1 telah memainkan peranan penting, menggalakkan syarikat multinasional untuk mempelbagaikan pangkalan pembuatan mereka di luar China,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya