PETALING JAYA: Kumpulan Pelaburan MARA menyerahkan sumbangan korporat dan zakat perniagaan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM25,000 kepada Pusat Jagaan Rumah Kasih Nurul Hasanah.
Pengerusi Kumpulan Pelaburan MARA, Datuk Mohamad Razali Mohamad Rahim berkata, pihaknya sentiasa komited dan cakna dalam melaksanakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat berkenaan.
Katanya, ini termasuk membantu dalam memfokuskan kepada pembangunan keharmonian komuniti, memperkasakan ilmu pengetahuan serta usaha memelihara dan memulihara alam sekitar.
“Kumpulan Pelaburan MARA sentiasa prihatin akan kepentingan dalam menjaga kesejahteraan dan keharmonian anak-anak yatim dan asnaf.
“Hal ini termasuk memberikan mereka perhatian dan mencurah kasih sayang terutama sekali ketika hari raya yang bakal tiba. Ia sekaligus memastikan agar mereka tidak tercicir dalam meraikan keistimewaan Ramadan mahupun kegembiraan Aildilfitri seperti orang lain.
“Sebagai syarikat korporat di bawah naungan MARA Corporation Sdn. Bhd., Kumpulan Pelaburan MARA juga komited dalam membantu agensi-agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam sebarang aktiviti yang boleh dilaksanakan untuk mencapai objektif bersama,” katanya sempena Majlis Iftar Kumpulan Pelaburan Mara 2025 di sini, semalam.
Jelasnya, sumbangan zakat perniagaan Kumpulan Pelaburan MARA sebanyak RM20,000 diagihkan kepada anak-anak Pusat Jagaan Rumah Kasih Nurul Hasanah dalam bentuk pembelian kelengkapan dan pakaian raya, duit raya serta tajaan berbuka puasa oleh syarikat subsidiari PMB Tijari Berhad dan PMB Analytics Sdn. Bhd.
Serahan sumbangan korporat dan zakat perniagaan berkenaan disempurnakan oleh Mohamad Razali kepada Pengurus Pusat Jagaan Rumah Kasih Nurul Hasanah, Nadhirah Mad.
Hadir sama, Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA, Mahdzir Othman, Ahli Lembaga Pengarah serta kakitangan Kumpulan Pelaburan MARA. – UTUSAN