PETALING JAYA: Pelabur asing meneruskan aliran jualan bersih di Bursa Malaysia selama 22 minggu berturut-turut, dengan mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM1.25 bilion minggu lalu, menurut MIDF Research.
Firma penyelidikan itu berkata, ini merupakan penurunan sedikit daripada aliran keluar RM1.34 bilion yang dicatatkan minggu sebelumnya.
“Pelabur asing adalah penjual bersih pada setiap hari dagangan, dengan Rabu mencatatkan aliran keluar paling besar sebanyak RM484.23 juta.
“Pada hari-hari lain, aliran keluar berkisar antara RM155.34 juta hingga RM326.40 juta.
“Satu-satunya sektor yang mencatatkan aliran masuk asing bersih adalah Perladangan (RM2.4 juta) Sementara itu, tiga sektor utama yang mencatatkan aliran keluar asing bersih tertinggi adalah perkhidmatan kewangan (-RM609.7 juta), produk dan perkhidmatan industri (-RM167.9 juta) dan produk dan perkhidmatan pengguna(-RM148.4 juta),” katanya dalam nota aliran dana.
MIDF Research berkata, sebaliknya, institusi tempatan terus kukuh menyokong pasaran, mencatatkan minggu kedua puluh dua berturut-turut dengan pembelian bersih sebanyak RM1.23 bilion.
“Sementara itu, pelabur runcit tempatan meneruskan aliran pembelian bersih mereka selama enam minggu berturut-turut, dengan mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM25.5 juta.
“Purata jumlah dagangan harian (ADTV) menunjukkan penurunan secara menyeluruh, kecuali bagi pelabur asing.
“Institusi tempatan dan pelabur runcit tempatan masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak -11.9 peratus dan -14.8 peratus, manakala pelabur asing mencatatkan peningkatan sebanyak +27.4 peratus,” katanya. – UTUSAN