Pasaran saham dunia menjunam

Pasaran saham dunia menjunam

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran saham dunia jatuh sejak Isnin berikutan kebimbangan yang memuncak dalam kalangan pelabur mengenai tarif dan spekulasi tentang kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat (AS) oleh Presidennya, Donald Trump.

Kebimbangan itu menyebabkan Indeks S&P 500, yang mengukur jumlah nilai pasaran semasa bagi saham 500 syarikat terbesar yang disenaraikan di bursa saham AS susut sebanyak AS$4 trilion dari paras tertinggi pada Februari.

Sehingga berita ini ditulis, pasaran saham Dow Jones jatuh 890.01 mata kepada 41,911.71, manakala Nasdaq turun 727.90 mata kepada 17,468.32.

Pada petang Selasa, Nikkei 225 Jepun susut 1.1 peratus, Kospi Korea Selatan turun 1.2 peratus dan Indeks Hang Seng Hong Kong susut 0.8 peratus.

Bursa Malaysia juga dibuka negatif apabila jatuh 10.45 mata kepada 1,526.01 berbanding 1,536.46 pada penutup Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pasaran ekuiti global berada dalam perjalanan ‘roller-coaster’ baru-baru ini, berbeza dengan keyakinan yang dilihat pada awal November berikutan kemenangan Trump.

Katanya, pada masa itu, pasaran didorong oleh jangkaan pengembangan dasar fiskal yang akan memacu pertumbuhan pendapatan korporat.

“Walau bagaimanapun, keghairahan itu telah pudar dengan cepat, memberi laluan kepada kebimbangan baharu mengenai potensi kemelesetan AS.

“Indeks Volatiliti CBOE (VIX) melonjak kepada 27.86 mata pada Isnin apabila pasaran ekuiti AS mengalami pembetulan, dengan indeks Nasdaq menjunam 12.9 peratus kepada 17,468.32 mata daripada paras tertinggi baru-baru ini pada 20,056.25 mata pada 19 Februari 2025,” katanya.

Beliau berkata, sebagai tindak balas kepada keadaan pasaran semasa, peniaga dan pelabur mencari perlindungan dalam aset selamat untuk mengurangkan potensi kerugian daripada pelaburan yang lebih berisiko.

Katanya, hasil pada nota Perbendaharaan AS dua tahun telah menurun sebanyak 36 mata asas sejak awal tahun, kini berada pada 3.88 peratus.

“Begitu juga, hasil bon Perbendaharaan AS 10 tahun telah menurun sebanyak 36 mata asas tahun setakat ini, ditutup pada 4.21 peratus pada Isnin.

“Pergerakan menurun dalam hasil jangka pendek menunjukkan peserta pasaran bon menjangkakan pemotongan kadar faedah selanjutnya oleh Rizab Persekutuan tahun ini,” ujarnya.

Mengulas mengenai impak kepada pasaran tempatan, Afzanizam berkata, masalah ini begitu sistemik kerana ia melibatkan pasaran global dan puncanya bukan datang dari negara ini.

“Ekonomi Malaysia pula berada dalam keadaan yang baik. Apa yang perlu dilaksanakan adalah mengurus dari segi komunikasi agar tidak wujud situasi panik.

“Selain itu, pelaksanaan reformasi ekonomi perlu diteruskan agar kedudukan kewangan kerajaan berada dalam keadaan yang baik dan dapat mewujudkan keyakinan yang tinggi dalam kalangan para pelabur, para peniaga dan masyarakat umum,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pasaran saham dijangka kekal tidak menentu selagi data ekonomi AS tidak menunjukkan ekonominya akan berkembang dari segi perbelanjaan pengguna, data pekerja dan kadar faedahnya.

Katanya, dasar terbaharu Trump dikhuatiri akan menyebabkan ekonomi AS akan merudum dan ini boleh menyebabkan pasaran saham Asia akan kekal tidak stabil

“Bursa Malaysia akan turut terjejas kerana AS merupakan rakan dagang utama Malaysia dan banyak syarikat tempatan tersenarai di Bursa Malaysia mengeksport barangan ke AS.

“Jika ekonomi AS semakin perlahan, ditambah dengan tarif yang dikenakan ke atas barangan tertentu, ini akan menyebabkan pasaran saham tempatan kekal lemah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya