Pasaran modal Malaysia cecah RM4.2 trilion pada 2024 - Utusan Malaysia

Pasaran modal Malaysia cecah RM4.2 trilion pada 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Saiz pasaran modal Malaysia mencecah paras tertinggi sepanjang masa sebanyak RM4.2 trilion pada 2024, meningkat daripada RM3.8 bilion pada tahun sebelumnya, didorong oleh pertumbuhan permodalan pasaran saham serta terbitan bon dan sukuk.

Suruhanjaya Sekuriti (SC) berkata, aset di bawah pengurusan (AUM) industri pengurusan dana mencapai paras tertinggi baharu sebanyak RM1.1 trilion berbanding RM975.5 bilion pada 2023.

“Ini melepasi penanda aras RM1 trilion, disokong oleh prestasi kukuh pasaran ekuiti global.

“Aktiviti pengumpulan dana juga mencatat peningkatan ketara kepada RM138.9 bilion pada 2024 berbanding RM127.7 bilion pada 2023, termasuk rekod 55 tawaran awam permulaan (IPO) yang berjaya mengumpul RM7.42 bilion berbanding 32 IPO dengan dalam Laporan Tahunan 2024, Laporan Tahunan AOB 2024 dan Kajian Kestabilan Pasaran Modal 2024.

Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, pertumbuhan berterusan yang disokong oleh terbitan bon dan sukuk yang kukuh menunjukkan pasaran modal kekal berdaya tahan, memudahkan pembentukan modal serta menyokong ekonomi negara.

“SC sedang merangka Pelan Induk Pasaran Modal (CMP) baharu bagi tempoh lima tahun, dengan tumpuan kepada meningkatkan keselamatan kewangan pesara dan menggalakkan pembiayaan mampan.

“Berasaskan kekuatan pasaran kita, SC komited untuk memupuk pasaran modal yang inklusif dan dinamik, di samping memudahkan inovasi dan meningkatkan kecekapan kawal selia.

“SC juga menyokong kepimpinan Malaysia dalam kewangan Islam dengan membangunkan penunjuk khusus bagi prinsip Maqasid al-Syariah.

“Malaysia akan menjalani penilaian utama Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) dan Tadbir Urus Korporat (CG Watch) Watch pada 2025,” katanya.

Menurut SC, Malaysia berada dalam kedudukan kukuh memperkasakan pasaran modal, perniagaan tempatan dan daya saing global, didorong oleh persekitaran kondusif bagi penubuhan pejabat keluarga (family offices) serta rangka kerja kawal selia yang menyokong pelaburan semula kekayaan dalam negara.

SC berkata, pembangunan berterusan pejabat keluarga sejajar dengan visi negara ke arah pertumbuhan mampan dan inklusif, sekali gus memastikan modal kewangan dan sosial dimanfaatkan bagi memacu masa depan yang makmur untuk semua rakyat Malaysia.

“Penubuhan dan pertumbuhan pejabat keluarga di Malaysia mempunyai potensi besar terhadap ekonomi secara menyeluruh.

“Apabila kekayaan dilaburkan semula dalam negara, ia mampu merangsang pertumbuhan syarikat dan industri tempatan, memacu inovasi serta memperkukuh ekonomi,” katanya.

Selain pelaburan kewangan, pejabat keluarga turut memainkan peranan penting dalam menyokong komuniti tempatan melalui inisiatif dermawan yang menyumbang kepada pembangunan sosial dan kesejahteraan masyarakat.

Kementerian Kewangan dan SC mengakui potensi besar pejabat keluarga terhadap pasaran modal domestik dan berusaha memanfaatkannya melalui pengenalan Skim Insentif Cukai Pejabat Keluarga Tunggal (SFO).

Selain itu, Zon Kewangan Khas Forest City (FCSFZ) turut diperkenalkan bagi menarik pelaburan pejabat keluarga asing ke Malaysia di samping menggalakkan keluarga Malaysia yang memiliki aset di luar negara membawa pulang pegangan mata wang asing untuk diuruskan di dalam negara.

Skim insentif tersebut menawarkan kadar cukai konsesi sifar peratus ke atas pendapatan daripada pelaburan layak oleh Single Family Office Vehicle (SFOV) selama 10 tahun pertama, manakala 10 tahun berikutnya tertakluk kepada syarat tertentu termasuk memegang aset di bawah pengurusan (AUM) sekurang-kurangnya RM30 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya