PETALING JAYA: Pasaran e-Dagang Asia Tenggara dijangka mencapai AS$325 bilion (RM1.44 trilion) menjelang 2028, dipacu penerimaan pesat pembayaran digital dan kebolehcapaian serantau yang membuka lebih banyak peluang perniagaan dalam perdagangan rentas sempadan.
Menurut firma perisikan pasaran IDC, pembayaran digital dijangka menyumbang 94 peratus daripada jumlah pembayaran e-Dagang di Asia Tenggara.
“Pertumbuhan paling ketara dapat dilihat dalam pembayaran domestik (97.9 peratus) dan dompet digital (94.9 peratus), yang memainkan peranan penting dalam memperluas capaian e-Dagang di kawasan yang sebelum ini kurang bergantung pada kad pembayaran.
“Selain itu, Pembayaran masa nyata (RTPs) juga dijangka berkembang pesat, mencecah lebih AS$11 trilion (RM48.75 trilion) menjelang 2028. Di Singapura, PayNow merupakan kaedah pembayaran ketiga paling banyak disokong oleh peniaga pada 2024.
“Peningkatan RTPs di Asia Tenggara didorong oleh inisiatif kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan kepada tunai dan mempromosikan kaedah pembayaran yang lebih pantas serta kos rendah,” menurut laporan tersebut.
Firma itu berkata, perdagangan rentas sempadan dalam kalangan negara Asia Tenggara dijangka mencecah AS$14.6 bilion (RM64.71 bilion) menjelang 2028, meningkat 2.8 kali ganda berbanding 2023.
“Purata nilai transaksi rentas sempadan per pelanggan melebihi transaksi domestik di kebanyakan pasaran Asia Tenggara, menandakan potensi besar bagi perniagaan, kecuali di Vietnam dan Indonesia.
“Sebanyak 62 peratus peniaga Asia Tenggara yang menjual produk dan perkhidmatan mereka merentas sempadan melaporkan bahawa transaksi tersebut, secara purata 21 peratus lebih tinggi daripada transaksi domestik.
“Ini menunjukkan peluang besar untuk peniaga yang mengembangkan operasi mereka ke pasaran berdekatan,” katanya.
Menurut Pengarah Urusan Pembangunan Perniagaan dan Produk 2C2P, Agnes Chua, landskap e-Dagang Asia Tenggara berkembang dengan pantas.
“Peniaga mengiktiraf peluang besar yang ada dalam menjana pendapatan e-dagang tetapi turut menghadapi cabaran operasi yang semakin kompleks. Ini termasuk isu sokongan pelanggan, integrasi gerbang pembayaran, serta masalah teknologi.
“Di 2C2P, kami membantu perniagaan menangani cabaran ini dengan yakin melalui penyelesaian pembayaran yang memudahkan operasi, meningkatkan keupayaan rentas sempadan dan memacu pertumbuhan ekonomi digital yang berkembang pesat,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Besar Antom, Ant International, Gary Liu berkata, Asia Tenggara semakin muncul sebagai hab global untuk e-dagang dan inovasi digital.
“Dalam perniagaan yang semakin berkembang merentasi sempadan, transaksi yang lancar dan cekap adalah penting untuk mengekalkan daya saing.
“Kami melihat pembayaran bukan sekadar infrastruktur tetapi sebagai pemacu pertumbuhan perniagaan.
“Melalui kerjasama erat dengan pengawal selia tempatan dan rakan industri, kami berusaha membuka peluang baharu bagi perniagaan dari pelbagai saiz untuk berkembang dalam ekonomi digital Asia Tenggara yang dinamik,” katanya. – UTUSAN