KUALA LUMPUR: Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus kekal menyokong dan konsisten dengan penilaian semasa terhadap prospek inflasi dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus memantau persekitaran ekonomi seperti tarif global dan dasar monetari negara lain.
Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, pihaknya juga akan memantau langkah-langkah dasar domestik dan bagaimana ia memberi kesan dari segi penilaian, penyertaan dan prospek pertumbuhan.
“Jadi, ini adalah bidang yang kita lihat dari segi keputusan mengenai dasar pasaran. Adakah kadar semasa sebenarnya sesuai menyokong ekonomi.
“Dari segi faktor Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) pula, dasar kita sebenarnya lebih dipacu oleh faktor domestik dan tidak kepada apa yang berlaku di luar sana,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Laporan Tahunan 2024 (LT 2024), Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2024 (TEM 2024) dan Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2024 (TKK ST2 2024) di Sasana Kijang di sini, hari ini.
Abdul Rasheed berkata demikian ketika ditanya sama ada OPR akan diturunkan jika Fed menurunkan kadar faedah mereka.
“Kami (Jawatankuasa Dasar Monetari) berjumpa enam kali dalam setahun dan setiap kali kami bertemu, kami akan menilai data dan juga output secara progresif dan setiap keputusan mencerminkan bukti terkini,” ujarnya.
Mengulas mengenai pertumbuhan ekonomi pada tahun ini, beliau berkata, ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada tahun 2025.
Katanya, pertumbuhan ini akan didorong oleh permintaan dalam negeri yang berterusan, meskipun terdapat ketidakpastian luaran yang semakin ketara yang boleh menyebabkan perkembangan eksport yang lebih sederhana.
“Pada tahun 2025, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing dijangka berpurata antara dua peratus hingga 3.5 peratus dan 1.5 peratus hingga 2.5 peratus.
Inflasi dijangka menunjukkan trend menaik namun akan kekal terkawal berikutan keadaan kos
global yang semakin reda dan ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan,” ujarnya.
Tambahnya, keadaan monetari dan kewangan domestik akan terus menyokong keperluan pembiayaan dalam keadaan ekonomi yang berkembang dengan mampan.
“Permintaan kredit akan didorong oleh prospek pertumbuhan dalam negeri dan pendapatan yang positif.
“Walaupun terdapat potensi risiko berikutan perkembangan luaran, pasaran kewangan Malaysia dijangka terus berdaya tahan dan berada pada kedudukan yang kukuh untuk mengekalkan keadaan pasaran yang teratur,” jelasnya. – UTUSAN