PETALING JAYA: Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan kekal pada 3.0 peratus pada 2025 untuk menyokong pertumbuhan domestik di tengah-tengah rintangan luar yang disebabkan oleh ketidakpastian dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan risiko inflasi domestik yang lebih tinggi meskipun ia dapat diuruskan, menurut Maybank IB.
Firma penyelidikan itu berkata, kenyataan Dasar Monetari (MPC) terkini kekal konstruktif mengenai prospek pertumbuhan global dan domestik kerana BNM terus meramalkan momentum pertumbuhan global dan domestik yang berterusan pada 2025.
“Ini walaupun terdapat komen mengenai ketidakpastian luar dan dasar global dalam MPC, terutamanya yang berkaitan dengan dasar perdagangan AS dan tindakan tarif di bawah
Presiden Trump 2.0, Donald Trump yang dijangka akan menyebabkan pengurangan dalam pertumbuhan eksport pada tahun ini.
“Walau bagaimanapun, BNM melihat dua risiko untuk prospek pertumbuhan domestik, iaitu mengakui kemerosotan disebabkan oleh perlambatan ekonomi di negara perdagangan utama susulan ketidakpastian dasar perdagangan yang ketara dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada yang dijangkakan.
“Namun, kami tidak menolak kemungkinan kenaikan daripada kesan sampingan kitaran teknologi global yang lebih besar, aktiviti pelancongan yang lebih kukuh, dan pelaksanaan projek pelaburan yang lebih cepat,” katanya dalam nota penyelidikan.
Maybank IB berkata, bagi inflasi domestik, BNM menjangka ia akan ‘dapat diterima’ pada 2025.
Ujarnya, BNM berpendapat bahawa dasar berkaitan gaji terkini merujuk kepada Fasa 1 semakan gaji penjawat awam yang berkuat kuasa Disember 2024 dan kenaikan gaji minimum berkuat kuasa 1 Februari 2025 akan memberi impak yang terhad terhadap inflasi walaupun memberikan rangsangan tambahan kepada permintaan domestik, terutamanya perbelanjaan pengguna.
“Ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan setakat ini boleh dilihat dari kadar inflasi teras yang seiring dengan inflasi keseluruhan, bukannya lebih cepat daripadanya.
“Secara keseluruhan, BNM melihat kesan reformasi dasar domestik termasuk pengenalan levi pelbagai peringkat pekerja asing dan sumbangan KWSP, serta rasionalisasi subsidi petrol RON95 yang dijangka terhadap inflasi dapat dibendung.
“Unjuran kadar inflasi rasmi semasa untuk 2025 adalah dalam julat yang luas antara +2.0 hingga +3.5 peratus (Jan 2025: +1.7 peratus tahun ke tahun, 2024: +1.8 peratus),” katanya.
Sementara itu, CIMB Research berkata, keputusan untuk mengekalkan OPR pada 3.00 peratus adalah dijangka, kerana data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ke-4 2024 yang disemak menunjukkan momentum pertumbuhan yang kukuh pada 5.0 peratus tahun ke tahun berbanding 2024, 5.1 peratus dan inflasi kekal sederhana pada 1.7 peratus tahun ke tahun pada Januari.
“Penilaian MPC terhadap pertumbuhan global, inflasi dan perdagangan menjadi lebih berhati-hati, dengan merujuk kepada ketidaktentuan mengenai dasar tarif dan perkembangan geopolitik, walau bagaimanapun, frasa perdagangan global dijangka terus disokong oleh kitaran perdagangan yang berterusan masih dikekalkan dalam kenyataan dasar monetari terkini.
“Ini menunjukkan jangkaan pertumbuhan yang lebih sederhana bagi eksport Malaysia,” katanya. – UTUSAN