OGSE perlu teroka pasaran hiliran, sasar juara serantau menjelang 2030 - Utusan Malaysia

OGSE perlu teroka pasaran hiliran, sasar juara serantau menjelang 2030

RAFIZI Ramli (tiga dari kanan) bersama Mohd Yazid Ja’afar (dua dari kanan) semasa Peluncuran Kajian Separuh Penggal Pelan Tindakan Industri OGSE Kebangsaan 2021 - 2030. UTUSAN/SABRINA ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Industri Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) tempatan perlu meneroka pasaran hiliran bagi memastikan ketahanan dan kelestariannya, dengan matlamat menjadikan pemain OGSE Malaysia sebagai juara serantau.

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, sejak pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), terdapat lonjakan minat pelabur asing terhadap sektor OGSE Malaysia khususnya daripada syarikat Jepun yang terbabit dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.

Namun, menurutnya, minat pelaburan itu tidak dapat dipenuhi kerana terdapat ketidakseimbangan dalam penawaran disebabkan tidak ramai peserta tempatan yang bersedia untuk merebut peluang itu.

“Ketika ini, industri OGSE Malaysia masih bersifat berpecah-pecah, dengan 80 peratus syarikatnya terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Mereka kekurangan dari segi skala ekonomi dan rangkaian untuk berkembang secara mampan ke peringkat antarabangsa.

“Jika kita lihat pemimpin OGSE di seluruh Asia Tenggara, kebanyakannya mempunyai kehadiran global yang tinggi, yang berkorelasi dengan peningkatan hasil.

“Bagi mencontohi kejayaan ini, kita telah merangka Program Juara Serantau yang menyasarkan untuk melahirkan lima lagi juara serantau menjelang tahun 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran Kajian Separuh Penggal Pelan Induk Industri OGSE Nasional 2021-2030 (OGSE Blueprint MTR) di sini, semalam.

Seluruh masa depan sektor OGSE ketika ini sedang berdepan tekanan antara daya tahan kewangan, geopolitik dan peralihan tenaga.

Kejutan geopolitik akibat peperangan mencetuskan turun naik harga minyak yang ketara, mewujudkan ketidaktentuan yang menjejaskan keselamatan rantaian bekalan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC), Mohd. Yazid Ja’afar berkata, industri OGSE kini berada di pertengahan pelaksanaan pelan tindakan yang bertujuan mengatasi cabaran struktur dalam industri.

Ujarnya, pelan tindakan ini akan memastikan OGSE Malaysia kekal berdaya saing dalam menghadapi perubahan global dan memanfaatkan peluang baharu di peringkat antarabangsa.

“Matlamat kami untuk industri OGSE kekal jelas iaitu untuk mengatasi cabaran seperti akses kepada pembiayaan, merapatkan jurang bakat, meningkatkan inovasi melalui R&D dan penerapan teknologi, mengurangkan pemecahan industri serta memperluaskan perniagaan OGSE ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa industri ini masih dalam proses pemulihan daripada kejatuhan harga minyak dan pandemik Covid-19.

“Pada masa sama, faktor seperti perubahan iklim, peralihan tenaga, ketegangan geopolitik, peningkatan keterhubungan pasaran melalui perjanjian perdagangan bebas, serta keperluan kelestarian yang semakin tinggi menunjukkan kepentingan pelaksanaan Blueprint MTR,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya