Nestlé Malaysia labur RM250 juta bina hab logistik bertaraf dunia di Klang - Utusan Malaysia

Nestlé Malaysia labur RM250 juta bina hab logistik bertaraf dunia di Klang

ARANOLS (tiga dari kanan) pada majlis pecah tanah hab logistik bersepadu Nestlé Malaysia di Pelabuhan Klang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nestlé Malaysia melabur RM250 juta untuk pembinaan hab logistik bersepadu serba canggih di Pelabuhan Klang.

Kemudahan ini direka secara strategik untuk berfungsi sebagai hab logistik serantau, untuk memudahkan eksport produk Nestlé Malaysia ke lebih daripada 60 negara di seluruh dunia serta mendapatkan bahan mentah yang diimport.

Projek itu adalah sebahagian daripada strategi Nestlé untuk meningkatkan kecekapan dan kelestarian rantaian bekalan sambil menyokong ekonomi tempatan melalui penciptaan pekerjaan dan pembangunan infrastruktur.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols berkata, langkah itu menekankan komitmen syarikat untuk melabur di Malaysia dan membina sebuah hab logistik bertaraf dunia yang akan menambah baik operasi dengan ketara menerusi teknologi canggih.

Ujarnya, dengan mencipta lebih 200 pekerjaan baharu, pihaknya memperkasakan pasukan untuk membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang logistik.

“Pelaburan ini bakal membentuk masa depan logistik di Malaysia, sejajar dengan visi kerajaan untuk menjadikan negara ini sebuah hab logistik utama di ASEAN.

“Pada dekad akan datang, kami membayangkan Pelabuhan Klang sebagai sebuah hab eksport berpusat bagi Nestlé Malaysia, menetapkan penanda aras baharu dari segi kecekapan dan kelestarian, sambil meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan kita untuk bersedia menghadapi masa depan,” katanya dalam kenyataan.

Hab yang dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang suku pertama 2026 ini merangkumi sebuah gudang moden dan ruang laman kontena dan akan memanfaatkan ekonomi skala dan pendigitalan untuk mengoptimumkan operasi dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada kumpulan pelanggan Nestlé yang semakin luas.

Hab logistik baharu ini juga akan menggabungkan teknologi canggih dan inovasi mampan, sambil memainkan peranan untuk mengurangkan kesan alam sekitar operasi logistik Nestlé termasuk Sistem Simpan dan Dapat Semula Automatik (ASRS) ulang-alik empat hala untuk meningkatkan keselamatan dan produktiviti gudang.

Selain itu, kemudahan tersebut akan ditempatkan di dalam sebuah bangunan dengan Pensijilan Karbon Sifar yang menggunakan tenaga suria, dan dilengkapi dengan trak elektrik untuk menguruskan pergerakan kontena.

Inisiatif ini dijangka mengurangkan emisi karbon Nestlé sebanyak lebih 500 tan karbon dioksida setiap tahun, sejajar dengan janji syarikat untuk mencapai emisi gas rumah hijau (GHG) sifar bersih menjelang 2050 dan mengurangkan separuh daripada emisi menjelang 2030.

Bagi menjayakan pelaburan penting ini, Nestlé Malaysia bekerjasama dengan Malconrep Depot (M) Sdn. Bhd., sebuah syarikat logistik milik Malaysia yang telah menjadi rakan kerjasama yang dipercayai Nestlé sejak 2016. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya