MPOC promosikan minyak sawit Malaysia di pasaran India - Utusan Malaysia

MPOC promosikan minyak sawit Malaysia di pasaran India

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAY: Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Persatuan Teknologi Minyak India (OTAI) memeterai kerjasama strategik bagi meningkatkan kesedaran mengenai manfaat pemakanan dan kesihatan minyak sawit Malaysia di pasaran India.

Menyedari kepentingan India sebagai pasaran utama bagi minyak sawit Malaysia, perjanjian itu membuka laluan kepada kempen kesedaran yang disasarkan untuk menangani salah tanggapan serta mengetengahkan peranan minyak sawit dalam aspek kesihatan, pemakanan dan aplikasi industri.

Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, Belvinder Sron berkata, India kekal sebagai salah satu pasaran terpenting bagi minyak sawit Malaysia dan usaha meningkatkan kesedaran menerusi inisiatif berasaskan sains adalah kunci mengukuhkan penerimaannya.

“Melalui kerjasama dengan OTAI, kami ingin menyediakan maklumat berfakta dan berasaskan penyelidikan mengenai manfaat minyak sawit serta peranannya dalam industri makanan di India.

“Perkongsian dengan organisasi seperti OTAI membolehkan kami memanfaatkan kepakaran serta rangkaian mereka untuk berinteraksi secara efektif dengan pihak berkepentingan utama.

“Dengan bekerjasama, kita dapat membetulkan salah tanggapan, meningkatkan keyakinan pengguna, dan memastikan kelebihan minyak sawit Malaysia diiktiraf secara meluas,” katanya dalam kenyataan.

Ditubuhkan pada 1943, OTAI merupakan persatuan utama yang mewakili ahli teknologi, saintis, ahli akademik, penyelidik dan profesional industri dalam bidang minyak, lemak, oleokimia, surfaktan dan produk berkaitan.

Menerusi perjanjian kerjasama itu, MPOC dan OTAI akan bekerjasama menganjurkan seminar industri, persidangan dan kuliah akademik bagi mendidik pengguna India, pengeluar makanan dan pihak berkepentingan industri mengenai manfaat kesihatan serta kepelbagaian aplikasi minyak sawit Malaysia.

Inisiatif ini juga akan menangani salah tanggapan mengenai minyak sawit dan mempromosikan maklumat berasaskan sains bagi meningkatkan pemahaman pengguna.

Kedua pihak turut akan memudah cara rangkaian industri dan pertukaran dasar untuk memperkukuh hubungan perdagangan serta menggalakkan kerjasama antara pihak berkepentingan dalam industri minyak sawit Malaysia dan India. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya