PETALING JAYA: NexG Berhad (NexG), sebelum ini dikenali sebagai Datasonic Group Berhad, mengumumkan Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman sebagai pemegang saham utama kumpulan.
Berdasarkan pemfailan di Bursa Malaysia pada 24 Mac 2025, Mohd Khairul Adib kini memiliki pegangan sebanyak 6.1 peratus dalam NexG selepas memperoleh kepentingan dalam Kuantum Juang Sdn. Bhd.
Pemfailan berasingan turut menunjukkan bahawa beliau telah memperoleh sebanyak 291,357,750 waran kumpulan, mewakili 20.9 peratus daripada jumlah waran terbitan
NexG.
Dalam perkembangan lain, menerusi pemfailan Bursa Malaysia, NexG mengumumkan bahawa Datuk Safian Mohd Yunus tidak lagi menjadi pemegang saham utama kumpulan, susulan beliau tidak lagi mempunyai kepentingan utama dalam Kuantum Juang.
Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif NexG, Datuk Hanifah Noordin berkata, pihaknya berbesar hati menyambut Mohd Khairul Adib sebagai pemegang saham utama NexG.
Katanya, keupayaan untuk menarik pelabur utama bertaraf tinggi ini membuktikan kekuatan model perniagaan dan visi syarikat.
“Ketika kami melaksanakan pelan transformasi untuk menjadi peneraju dalam pasaran identiti fizikal dan digital serta menyumbang kepada transformasi digital Malaysia, pengalaman kepimpinan luas yang dimiliki beliau akan menjadi aset penting kepada kumpulan.
“Dengan sokongan pemegang saham dan kepimpinan baharu, kami berada di landasan tepat untuk menjadi rakan strategik dalam projek transformasi digital nasional seperti MyDigital ID dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Khairul Adib telah dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif NexG pada 22 November 2024.
Beliau membawa pengalaman cemerlang selama 34 tahun dalam Perkhidmatan Awam Malaysia, termasuk jawatan sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT).
Selain itu, beliau pernah berkhidmat di pelbagai kementerian seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar serta Kementerian Pendidikan dan menganggotai Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), MAVCOM dan Malaysia Airports Holdings Berhad.
Pada 24 Mac 2025, diumumkan bahawa beliau telah meletakkan jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah MMAG Holdings Berhad bagi memberi tumpuan kepada kepentingan lain. – UTUSAN