PETALING JAYA: Malayan Flour Mills Berhad (MFM) memperkenalkan kempen “Resepi Dari Hati MFM, Dari Dulu Hingga Kini”, sebagai penghargaan kepada resipi tradisi yang dapat mengeratkan hubungan silaturahim serta mengukuhkan ikatan kekeluargaan.
Menurut kenyataan, ia bertujuan menekankan kepentingan memelihara resipi keluarga, mengeratkan hubungan antara generasi dan meraikan budaya berkongsi hidangan yang disediakan dengan penuh kasih sayang secara turun-temurun.
“Sejak 1966 Jenama tepung MFM telah menjadi sebahagian daripada warisan keluarga lebih daripada lima dekad. Kini, produk-produk MFM seperti MFM Cap Ros muncul sebagai ikon bagi pelbagai resipi yang melangkaui generasi.
“Kempen ini juga memainkan peranan sebagai pelengkap yang menghubungkan kenangan masa lalu dan masa kini.
“Setiap resipi mengandungi pelbagai cerita tersendiri, daripada gelak tawa di dapur nenek hingga kreativiti anak muda, menjadikan setiap hidangan bukan sekadar hidangan biasa, tetapi satu kapsul rasa yang abadi,” katanya.
Jelasnya, MFM Cap Ros merupakan warisan kepercayaan yang diturunkan dari generasi ke generasi selama lebih 60 tahun tepung MFM telah menjadi jenama pilihan keluarga di Malaysia.
“Tepung ini yang dihasilkan melalui proses teliti bagi mengekalkan kualitinya dan diperkayakan dengan Vitamin B1, B2, Niasin and Zat Besi yang sesuai digunakan untuk pelbagai juadah tradisional.
“Ia sekali gus memastikan kuih-kuih klasik seperti Kuih Lapis, Almond London dan Kuih Bahulu kekal enak, serupa dengan zaman dahulu,” ujarnya.
Jurucakap MFM berkata, tepung MFM Cap Ros bukan hanya sekadar tepung, tetapi mempunyai pengertian tersirat dalam setiap keluarga.
“Apabila seorang nenek mengajar cucunya cara membuat Kuih Lapis, ia bukan sekadar memasak sahaja, tapi adalah warisan yang dikongsikan.
“Pada Hari Raya ini, MFM mempelawa semua keluarga untuk meraikan kasih sayang melalui hidangan yang dimasak bersama di rumah melalui kempen ini.
“Dapur bukan hanya tempat untuk memasak, ia adalah ruang di mana kenangan tercipta, tradisi dihormati dan kasih sayang diwariskan dari satu generasi ke generasi seterusnya,” katanya.