PETALING JAYA: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital negara di bawah seliaan Kementerian Digital (KD), bersama rakan pelaksana memperuntukkan dana berjumlah RM1.5 bilion bagi menyokong inisiatif mendigitalkan perniagaan di seluruh negara.
Dana ini diwujudkan melalui kerjasama strategik awam-swasta melibatkan agensi kerajaan dan rakan sokongan termasuk institusi kewangan, bank digital, platform pembiayaan Peer-to-Peer (P2P) serta penyedia perkhidmatan tempatan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, dana tersebut bertujuan untuk menyediakan penyelesaian digital bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di samping menawarkan kemudahan pembiayaan digital yang menyokong keperluan operasi harian komuniti ini.
Katanya, kerjasama ini adalah penting bagi memastikan pemilik-pemilik perniagaan memahami kepentingan aspek pengurusan kewangan menerusi kaedah digital yang membolehkan mereka mendapat lebih manfaat terutama dari segi sokongan dan jaminan untuk pembiayaan perniagaan mereka.
“Tidak ketinggalan, memorandum persefahaman akan turut melibatkan platform penyedia penyelesaian digital tempatan yang menawarkan penyelesaian digital inovatif kepada pelbagai sektor.
“Rakan-rakan strategik ini bukan sahaja akan menyediakan penyelesaian digital untuk membantu pendigitalan perniagaan, tetapi juga berperanan dalam menyediakan akses pembiayaan bagi memudahkan PMKS beralih ke arah digitalisasi.
“Melalui kerjasama dengan rakan-rakan strategik ini, terdapat sekurang-kurangnya RM1.5 bilion nilai dana yang tersedia yang boleh dimanfaatkan untuk membantu PMKS mendapatkan penyelesaian dan aplikasi digital, serta pembiayaan operasi perniagaan yang dipacu oleh kaedah digital dan data transaksi perniagaan secara digital,” katanya kepada pemberita selepas pada Majlis inisiatif pendigitalan perniagaan di sini.
Majlis itu turut menyaksikan pemeteraian pelbagai Memorandum Persefahaman (MoU) antara MDEC dan SME Corp Malaysia, institusi kewangan, bank digital, platform P2P serta penyedia perkhidmatan tempatan.
Ini bagi memastikan PMKS menerima sokongan menyeluruh dalam aspek pembiayaan, akses kepada alatan digital dan pembangunan kapasiti untuk beralih ke arah ekonomi digital dengan lebih berjaya.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, 21 penyedia perkhidmatan e-Invois yang diiktiraf oleh MDEC akan menawarkan penyelesaian e-invois secara penyelesaian e-invois berpatutan atau percuma (freemium) untuk PMKS.
Jelas Gobind, lebih 60 peratus perniagaan di Malaysia masih berada di tahap digitalisasi asas, bersamaan dengan lebih 650,000 PMKS yang belum mengadaptasi teknologi secara menyeluruh.
“Walaupun 93.1 peratus PMKS telah menggunakan internet, pelaburan dalam teknologi digital yang lebih canggih masih rendah,” katanya. – UTUSAN