Mavcom umum Wee Hock Kee anggota suruhanjaya baharu - Utusan Malaysia

Mavcom umum Wee Hock Kee anggota suruhanjaya baharu

WEE HOCK KEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengumumkan pelantikan Wee Hock Kee sebagai Anggota Suruhanjaya yang baharu, berkuat kuasa 13 Februari 2025.

Pelantikan Hock Kee dibuat oleh Menteri Pengangkutan selepas berunding dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaras dengan Seksyen 5(1)(c) Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771].

Dengan pengalaman kerjaya beliau yang meluas termasuk di syarikat-syarikat multinasional, Hock Kee telah memegang pelbagai jawatan kepimpinan dalam bidang audit dalaman, pengurusan risiko dan tadbir urus.

Beliau ialah Felo Association of Chartered Certified Accountants (United Kingdom) dan pernah berkhidmat sebagai Pengarah Audit Serantau bagi Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika di
AstraZeneca PLC (United Kingdom).

Kini, beliau merupakan Ahli Fakulti dan Felo di Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM) serta ahli Institut Pengarah Singapura (SID).

Selain itu, beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Urus, Etika, Audit dan Risiko di Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Hock Kee telah memberi sumbangan yang signifikan dalam profesion audit dalaman, termasuk pernah berkhidmat sebagai Presiden Institut Juruaudit Dalaman Malaysia (IIAM) dan Konfederasi Institut Juruaudit Dalaman Asia (ACIIA).

Beliau juga pernah menjadi ahli lembaga IIA Global, ahli Majlis Penasihat ACCA Malaysia, serta Pengerusi Kumpulan Kerja Audit Dalaman di Institut Akauntan Malaysia (MIA).

Di luar penglibatan profesionalnya, beliau telah memegang jawatan sebagai ahli lembaga pengarah dalam pelbagai syarikat tersenarai awam di Malaysia, Singapura dan United Kingdom, di mana beliau mengetuai Jawatankuasa Audit, Pengurusan Risiko, serta Pencalonan dan Imbuhan.

Penglibatan beliau dengan MAVCOM sebelum ini termasuk berkhidmat sebagai Anggota Jawatankuasa bagi Jawatankuasa Pelesenan dan Hak Trafik Udara.

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, kepakaran Hock Kee dalam tadbir urus, pengurusan risiko dan kawalan dalaman, serta pemahamannya mengenai kepimpinan dan pembangunan lembaga pengarah dalam sektor awam dan swasta akan memperkukuh pengawasan serta hala tuju strategik Mavcom.

“Rekod cemerlang beliau dalam tadbir urus korporat, pengurusan risiko dan pematuhan peraturan akan menjadi aset yang amat bernilai ketika Mavcom terus memperkasa industri penerbangan Malaysia.,” katanya.

Satu lagi perubahan penting di Mavcom ialah tamatnya tempoh perkhidmatan Datuk Seri Long See Wool sebagai Anggota Suruhanjaya pada 28 Februari lalu.

Saripuddin berkata, wawasan strategik dan komitmen See Wool dalam membangunkan landskap penerbangan yang mampan telah memberikan impak yang mendalam dan berkekalan kepada industri.

“Sepanjang tempoh beliau bersama kami, Mavcom telah berjaya menangani cabaran yang kompleks serta melaksanakan penyelesaian transformasi yang meningkatkan perlindungan pengguna dan mempertingkatkan kualiti perkhidmatan.

“Kami amat menghargai dedikasi beliau serta legasi yang ditinggalkannya. Dengan pelantikan Hock Kee, Mavcom terus memperkukuh komitmennya untuk menegakkan standard tertinggi dalam tadbir urus dan integriti kawal selia dalam sektor penerbangan Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya