PETALING JAYA: Malakoff Radiance Sdn. Bhd. (Malakoff Radiance), cabang tenaga solar Malakoff Corporation Berhad (Malakoff), mengukuhkan lagi komitmennya terhadap tenaga lestari melalui kerjasama dengan Northport (Malaysia) Bhd. (Northport) bagi fasa kedua inisiatif tenaga solar.
Menurut kenyataan, perkongsian strategik itu menegaskan dedikasi Malakoff Radiance dalam menyediakan penyelesaian tenaga inovatif dan mampan yang memberi penjimatan kos serta manfaat alam sekitar kepada perniagaan.
“Kerjasama ini dimeterai melalui perjanjian Pembelian Tenaga Solar yang ditandatangani pada 10 Februari 2025.
“Di bawah perjanjian ini, projek solar atas bumbung di bangunan CT2 akan mempunyai kapasiti keseluruhan sebanyak 2,025.81 kWp (1,600 kWac).
“Setelah siap, projek ini akan meningkatkan kapasiti tenaga solar Northport kepada 4.4 MWp, sekali gus memperkukuh komitmennya terhadap operasi hijau dan mampan.
“Fasa kedua ini adalah kesinambungan daripada kejayaan pemasangan sistem fotovoltaik (PV) solar atas bumbung berkapasiti 2.4 MWp yang disiapkan pada Disember 2022,” katanya.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, pencapaian itu merupakan satu lagi pencetus penting dalam usaha tenaga boleh diperbaharui (RE) Malakoff.
Katanya, berdasarkan kejayaan itu, Malakoff Radiance kini meneruskan Fasa 2, yang melibatkan pemasangan sistem PV solar atas bumbung baharu di bangunan CT2 Northport di Pelabuhan Klang.
“Kerjasama ini membuktikan komitmen Malakoff Radiance dan Northport dalam menyediakan penyelesaian tenaga yang cekap dan mampan, serta menyumbang kepada peralihan Malaysia ke arah tenaga boleh diperbaharui.
“Dengan berkolaborasi bersama pemegang kepentingan utama seperti Northport, Malakoff Radiance terus memainkan peranan penting dalam mendorong negara ke arah sumber tenaga yang lebih bersih dan lestari,” katanya.
Beliau berkata, melalui Malakoff Radiance, rakan kongsi boleh meningkatkan kecekapan tenaga, mengurangkan kos dan mencapai matlamat kelestarian mereka tanpa beban pelaburan awal.
“Penyelesaian kami yang boleh dipercayai dan kos efektif memudahkan peralihan kepada RE, sambil memastikan kejayaan jangka panjang dan fleksibiliti kewangan,” ujarnya.
Menerusi cabang perniagaannya, Malakoff Green Solutions, syarikat ini telah membangunkan portfolio RE yang kukuh berkapasiti 173 MW.
Ini merangkumi pelbagai projek seperti Solar Berskala Besar, pemasangan solar komersial dan industri, penjanaan hidro kecil serta pelaksanaan infrastruktur mobiliti bebas karbon.
Inisiatif-inisiatif ini mencerminkan komitmen kukuh Malakoff terhadap matlamat ‘Memperkayakan Kehidupan, Memperkasa Komuniti’, sekali gus membuktikan dedikasi syarikat dalam membina masa depan tenaga yang mampan dan berdaya tahan.-UTUSAN