PETALING JAYA: Sebanyak 59 peratus pekerja di Malaysia sanggup berhenti kerja sekiranya mereka bekerja dalam persekitaran yang toksik, iaitu angka tertinggi di rantau Asia Pasifik, menurut Randstad.
Laporan Workmonitor Malaysia 2025 oleh agensi itu juga mendedahkan bahawa membina komuniti tempat kerja yang positif bukan sahaja meningkatkan kebahagiaan dan produktiviti, tetapi menjadi kelebihan strategik bagi majikan yang ingin menarik bakat sambil mengelakkan ‘perang harga’ pengambilan pekerja yang mahal.
Pengarah Negara Randstad Malaysia, Fahad Naeem berkata, mencipta pengalaman yang hebat untuk pekerja bermakna membina persekitaran di mana mereka datang bekerja kerana mereka percaya dan menikmati bekerjasama dengan rakan sekerja mereka.
“Apabila pekerja rasa terhubung, mereka lebih cenderung untuk memberikan yang terbaik. Walaupun mencipta komuniti yang mesra ini boleh menjadi kompleks bagi majikan kerana ia memerlukan fleksibiliti, masa dan sentuhan peribadi, perkara yang paling asas yang perlu dimulakan adalah dengan kepercayaan,” katanya dalam satu laporan.
Kajian ini juga mendapati bahawa 48 peratus responden akan menolak tawaran kerja daripada syarikat yang mereka tahu tidak aktif dalam memupuk budaya tempat kerja yang positif.
Ini lebih jelas kelihatan dalam golongan pekerja Gen Z (59 peratus) dan Gen X (50 peratus).
Selain itu, satu daripada dua responden mengakui bahawa mereka akan mempertimbangkan untuk meletakkan jawatan jika tidak bergaul dengan pengurus mereka, dengan golongan ‘Baby Boomer’ paling cenderung berbuat demikian (66 peratus).
Selain itu, tiga daripada lima responden 61 peratus turut mengatakan mereka mempertimbangkan untuk berhenti jika tidak merasa mereka diterima di dalam syarikat, manakala, 16 peratus sanggup berhenti kerja kerana kurangnya kawan di tempat kerja, yang paling ketara dalam kalangan bakat Gen Z (28 peratus).
Di sisi positif, pekerja melaporkan bahawa mereka dapat bekerja dengan lebih baik apabila merasa berhubung dengan rakan sekerja.
Lebih daripada sembilan dalam sepuluh responden (93 peratus) mengatakan mereka dapat berprestasi lebih baik di tempat kerja jika mereka merasakan ada rasa komuniti dan 91 peratus merasa mereka lebih mengenali rakan sekerja mereka.
Fahad menambah, apabila rakan sekerja bergaul dengan baik, mereka bekerja dengan lebih baik bersama, yang membawa kepada produktiviti yang lebih tinggi dan kerjasama yang lebih baik.
“Ini secara semula jadi akan mendorong pekerja berkongsi pengalaman baik mereka dengan orang lain, yang boleh menarik lebih ramai bakat yang mencari persekitaran kerja yang serupa,” katanya.
Dalam pada itu, kajian ini juga mendapati bahawa 33 peratus daripada responden sanggup menerima gaji yang lebih rendah sekiranya mereka mempunyai rakan baik di tempat kerja, dengan golongan Gen Z (37 peratus) dan Baby Boomers (44 peratus) lebih cenderung kepada trend ini.
Katanya, mempunyai persekitaran kerja yang positif dan budaya tempat kerja yang mesra memainkan peranan besar dalam kepuasan kerja dan produktiviti pekerja.
“Oleh itu, majikan disarankan untuk memberi tumpuan kepada aspek ini bagi memastikan kestabilan dan prestasi tinggi di tempat kerja,” katanya. – UTUSAN