PETALING JAYA: Kumpulan MBSB menyampaikan sumbangan melebihi RM460,000 sempena bulan Ramadan melalui pelbagai inisiatif kemasyarakatan bertujuan meringankan beban golongan memerlukan serta memperkukuh perpaduan rakyat Malaysia.
Menurut kenyataannya, usaha ini mencerminkan komitmen teguh Kumpulan MBSB dalam memperkasakan komuniti yang kurang bernasib baik serta menyemarakkan nilai kebersamaan sepanjang bulan suci ini.
Sebanyak RM52,000 telah diperuntukkan bagi program Membeli-belah Raya dan Agihan Duit Raya kepada 190 kanak-kanak di Shah Alam, Ipoh dan Kuantan.
Inisiatif ini membolehkan anak-anak dari latar belakang berpendapatan rendah memperoleh pakaian baharu untuk menyambut Aidilfitri dengan lebih ceria.
Sebagai tanda sokongan yang lebih dekat, Pengerusi Kumpulan MBSB, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad, turut turun padang menyantuni mereka dalam program ini.
Beliau berkata, Ramadan adalah waktu untuk memperkukuh komitmennya kepada masyarakat.
“Selain daripada sumbangan kewangan, kami berusaha untuk mencipta impak yang berpanjangan dengan menyokong golongan memerlukan serta menyemai rasa kebersamaan dan belas ihsan sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini,” katanya dalam kenyataan.
Dalam usaha berterusan untuk memperkukuh kebajikan sosial, kumpulan turut menyumbangkan sebanyak RM160,000 kepada 16 pertubuhan amal, termasuk rumah anak yatim, rumah kebajikan serta sekolah agama.
Katanya, setiap institusi menerima RM10,000 bagi memastikan kelangsungan operasi dan menyokong kesejahteraan komuniti setempat.
Kumpulan MBSB turut menyalurkan RM252,000 bagi tajaan penuh hidangan berbuka puasa buat kanak-kanak di Yayasan Chow Kit, melibatkan dua lokasi iaitu KL Pad Krash di Jalan Tunku Abdul Rahman dan Pusat Kanak-Kanak di Jalan Chow Kit.
“Komitmen ini bukan sahaja terhad kepada bulan Ramadan, malah berlanjutan sepanjang tahun untuk memastikan golongan ini mendapat bekalan makanan yang mencukupi dan berkhasiat.
“Menghayati semangat perpaduan merentasi kepercayaan, Kumpulan MBSB memperkenalkan program ‘Fast-a-Thon’, yang menggalakkan kakitangan bukan Islam untuk merasai pengalaman berpuasa dan berbuka bersama rakan sekerja beragama Islam.
“Inisiatif ini bukan sahaja mengeratkan hubungan di tempat kerja, malah menzahirkan nilai keharmonian dan kebersamaan yang disemarakkan sepanjang Ramadan,” jelasnya.
Melalui inisiatif yang dilaksanakan ini, Kumpulan MBSB terus menegaskan peranannya sebagai sebuah institusi yang bertanggungjawab secara sosial. – UTUSAN