KMI Healthcare akan buka hospital kapasiti 100 katil di Bertam - Utusan Malaysia

KMI Healthcare akan buka hospital kapasiti 100 katil di Bertam

Najman Kamaruddin (kiri) berjabat tangan bersama Datuk Sri A. K. Teng (dua dari kanan) selepas kedua-dua pihak menandatangani Perjanjian Membina dan Menyewa bagi pembangunan sebuah hospital berkapasiti 100 katil di Bertam, Seberang Prai Utara, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: KMI Bertam Medical Centre Sdn. Bhd. (KMI Bertam), anak syarikat KMI Healthcare dan Bertam Specialist Hospital Sdn Bhd (BSHSB) mengumumkan persetujuan Perjanjian Membina dan Menyewa bagi pembangunan sebuah hospital berkapasiti 100 katil di Bertam, Seberang Prai Utara, Pulau Pinang.

Projek yang dijangka siap pada 2028 itu memperuntukkan Kos Pembangunan Kasar (GDC) sebanyak RM146 juta, menandakan satu lagi kejayaan besar dalam strategi Greenfield KMI Healthcare, sekali gus menambah sebuah hospital baharu ke dalam rangkaian hospital KMI yang semakin berkembang.

Di bawah syarat perjanjian, anak syarikat TDM Bhd itu akan menyewa kemudahan hospital tersebut daripada BSHSB untuk tempoh awal 18 tahun, dengan pilihan untuk melanjutkan tempoh selama 12 tahun lagi, memastikan kelestarian operasi jangka panjang.

Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare, Dr. Rayney Azmi Ali, berkata, perjanjian ini merupakan langkah penting dalam misi kumpulan untuk mengembangkan rangkaian hospital KMI dan menyampaikan penjagaan kesihatan berkualiti kepada lebih banyak komuniti.

“Hospital Bertam bukan sahaja akan berkhidmat untuk penduduk tempatan tetapi juga menyumbang kepada potensi pelancongan perubatan Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Bertam Specialist Hospital Sdn. Bhd., Datuk Seri A. K. Teng berkata, lokasi strategik dan infrastruktur moden hospital itu akan menetapkan standard baharu dalam penyampaian penjagaan kesihatan di rantau ini.

“Perkongsian ini mencerminkan komitmen bersama kami untuk meningkatkan aksesibiliti dan kualiti penjagaan kesihatan,” katanya.

Hospital 100 katil ini akan dilengkapi dengan kemudahan perubatan dan pembedahan canggih, termasuk beberapa pusat perkhidmatan cemerlang (COE), perkhidmatan diagnostik dan unit penjagaan berpusatkan pesakit.

Hospital akan dibina secara strategik di atas tapak seluas 2.1 ekar di Seberang Prai Utara, Pulau Pinang, menawarkan akses mudah melalui Lebuhraya PLUS.

Lokasinya hanya lima hingga 10 minit pemanduan dari susur tol Kepala Batas, menjadikannya sangat mudah untuk pesakit dan pengunjung.

Hospital baharu ini dijangka memenuhi keperluan penjagaan kesihatan penduduk di dalam populasi dan komuniti Seberang Perai Utara dengan menyediakan perkhidmatan perubatan asas dan penjagaan khusus yang moden dan terkini.

Selain itu, lokasi strategik dan kemudahan moden hospital ini turut membuka peluang besar untuk menyokong inisiatif pelancongan perubatan Pulau Pinang, menarik minat pesakit antarabangsa yang mencari perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi.

Projek yang menggunakan model perniagaan aset ringan, membolehkan KMI Bertam menumpukan perhatian kepada penyediaan perkhidmatan kesihatan yang cemerlang, manakala BSHSB menguruskan pembangunan dan pemilikan kemudahan.

Model ini memastikan peruntukan modal yang cekap dan fleksibiliti operasi, selari dengan strategi pertumbuhan jangka panjang KMI Healthcare.

Perjanjian ini menekankan komitmen KMI Healthcare untuk mengembangkan pengaruhnya dalam sektor kesihatan Malaysia.

Penambahan hospital Bertam ke dalam rangkaian hospital KMI mencerminkan dedikasi kumpulan dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi dan mudah diakses kepada komuniti di seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya