PETALING JAYA: Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) melabur dalam perniagaan pengecasan kenderaan elektrik (EV) Yinson GreenTech, chargEV, dengan jumlah pelaburan yang tidak didedahkan.
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, pelaburan itu mencerminkan komitmen syarikat pelaburan strategik negara itu dalam menyokong peralihan Malaysia ke arah masa depan rendah karbon.
“Kami berbesar hati menyokong chargEV dalam usaha memperkukuh dan memperluaskan rangkaian infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EVCI) di Malaysia.
“Memandangkan ekosistem EV negara masih di peringkat awal, penyertaan kami bertujuan merangsang pertumbuhannya.
“Kami berharap inisiatif ini turut menarik minat pelabur lain untuk bersama membangunkan infrastruktur EV yang menyeluruh dan boleh dipercayai di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan.
chargEV diasaskan oleh Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Pelaburan Khazanah akan membantu chargEV meningkatkan jumlah stesen pengecasan di seluruh negara, selaras dengan sasaran Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk memasang 10,000 titik pengecasan EV.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MGTC, Saiful Adib Abdul Munaff berkata, Malaysia mempunyai 3,611 titik pengecasan EV setakat awal 2025.
“Rangkaian pengecasan EV yang kukuh amat penting bagi menyokong peralihan negara ke arah penggunaan kenderaan elektrik,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yinson, Lim Chern Yuan menyatakan penghargaan atas pelaburan Khazanah menerusi Dana Impak, yang menurutnya akan memperkukuh kapasiti kewangan syarikat untuk mengembangkan operasi.
“Pelaburan ini hadir pada waktu yang tepat, selaras dengan pertumbuhan pesat perniagaan kami.
“Sehingga Disember 2024, hasil pendapatan model bayar mengikut penggunaan kami meningkat lima kali ganda, manakala jumlah sesi pengecasan turut meningkat dua kali ganda berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
“Kami berhasrat untuk terus mempertingkatkan ekosistem EV negara bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap pengalaman pengecasan yang mudah, lancar dan boleh dipercayai di seluruh Malaysia,” katanya. – UTUSAN