Ketidakpastian luaran tidak jejas daya tahan ekonomi negara - Utusan Malaysia

Ketidakpastian luaran tidak jejas daya tahan ekonomi negara

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia terus menunjukkan daya tahan ekonomi walaupun menghadapi ketidakpastian luaran, termasuk perubahan dasar perdagangan global berikutan pelantikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk penggal kedua.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, kesemua perkembangan penting ini juga dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) sebagai sebahagian daripada proses membuat keputusan pengekalan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Katanya, pertumbuhan ekonomi negara akan terus disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, dengan sektor perkhidmatan yang memberi sumbangan besar kepada ekonomi selain sektor perkilangan.

“Sebagai ekonomi kecil dan terbuka, Malaysia tidak akan terkecuali daripada peristiwa yang boleh menjejaskan perdagangan dan pertumbuhan global.

“Malaysia akan terus berhadapan dengan cabaran luar, namun asas ekonomi yang pelbagai memberikan keyakinan terhadap kestabilan jangka panjang.

“Kami terus menilai kesan peristiwa global terhadap trajektori pertumbuhan dan inflasi Malaysia berikutan ketidakpastian mengenai dasar perdagangan global,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Abdul Rasheed, penilaian MPC mendapati ekonomi Malaysia akan kekal berdaya tahan walaupun terdapat ketidakpastian luaran ini.

“Pertumbuhan akan disokong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang terus kukuh. Ekonomi Malaysia yang pelbagai serta asas eksport negara yang luas akan bertindak untuk mengurangkan sebarang kesan daripada kejutan luaran.

“Negara memiliki beberapa penggerak pertumbuhan, dan ekonomi tidak bergantung pada satu sumber pertumbuhan sahaja.

“Walaupun Malaysia ialah negara perdagangan dengan sumbangan yang mantap daripada aktiviti perkilangan, sektor perkhidmatan negara juga memberikan sumbangan yang ketara dan merangkumi lebih daripada separuh keseluruhan ekonomi Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, negara juga mempunyai struktur eksport yang pelbagai bagi membantu menghadapi cabaran luaran.

“Produk eksport dan rakan dagangan Malaysia yang pelbagai memastikan bahawa kita tidak terlalu bergantung pada satu produk atau pasaran sahaja.

“Pada 2024, sebagai contoh, walaupun 40 peratus daripada jumlah eksport negara terdiri daripada produk elektrik dan elektronik (E&E), baki 60 peratus merangkumi pelbagai barangan siap bukan E&E serta produk pertanian dan mineral,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia mengekalkan rangkaian perdagangan yang meluas di pelbagai negara dan rantau.

“Dalam mengemudi ketidakpastian perdagangan global, Malaysia secara aktif terus meneroka peluang baharu dan memupuk pertumbuhan melalui pengukuhan perdagangan dengan rakan serantau seperti blok ASEAN.

“Penting untuk kita mengusahakan integrasi serantau yang lebih erat dengan negara-negara ASEAN lain untuk meningkatkan prospek perdagangan negara memandangkan ASEAN kekal sebagai salah satu rakan dagangan utama Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rasheed berkata, MPC menyasarkan untuk mengekalkan kestabilan harga yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Untuk melakukannya, kami mengambil kira trajektori inflasi dan pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam tempoh satu hingga dua tahun yang akan datang apabila menetapkan OPR,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya