HANOI: Pihak berkuasa Kemboja semalam menegaskan negara itu meningkatkan usaha membanteras jenayah pemerdagangan manusia dan eksploitasi seksual tahun lalu, dengan merekodkan 197 kes, meningkat 20 peratus berbanding 164 kes pada tahun sebelumnya.
Menurut Agensi Berita Vietnam (VNA), Setiausaha Negara di Kementerian Dalam Negeri, Chou Bun Eng, berkata agensi penguat kuasa menahan 273 suspek, termasuk 30 warga asing, serta menyelamatkan 523 mangsa.
Beliau yang juga Naib Pengerusi Tetap Jawatankuasa Kebangsaan bagi Membanteras Pemerdagangan Orang (NCCT), bimbang dengan peningkatan kes pemerdagangan kanak-kanak dan eksploitasi seksual, sama ada dalam talian atau luar talian.
“Daripada jumlah mangsa yang diselamatkan, 230 daripadanya adalah kanak-kanak di bawah umur 18 tahun, mewakili hampir 44 peratus daripada keseluruhan kes,” katanya.
Kes pemerdagangan orang di Kemboja sering dikaitkan dengan penipuan, pertikaian buruh, pekerjaan tidak sah dan masuk ke sesuatu negara secara haram.
Bulan lalu, Perdana Menteri Hun Manet sekali lagi menegaskan pendirian tegas Kemboja terhadap penculikan, jenayah siber dan pemerdagangan orang, serta berikrar untuk mengambil tindakan keras terhadap semua aktiviti jenayah berkaitan.