Jualan sektor pembuatan cecah RM158.1 bilion pada Januari - Utusan Malaysia

Jualan sektor pembuatan cecah RM158.1 bilion pada Januari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nilai jualan sektor pembuatan pada Januari 2025 meningkat 3.5 peratus berjumlah RM158.1 bilion daripada 5.7 peratus pada Disember tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu disokong, terutamanya oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau yang merekodkan pertumbuhan kukuh 10.6 peratus pada Januari 2025 daripada 14.6 peratus pada Disember lalu.

“Ini diikuti dengan subsektor peralatan elektrik dan elektronik serta produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam, masing-masing pada 7.3 peratus daripada 8.7 peratus pada Disember dan 2.1 peratus daripada 3.2 peratus pada bulan sebelumnya.

“Perbandingan dengan bulan sebelumnya, nilai jualan menguncup sedikit sebanyak 0.2 peratus kepada RM158.1 bilion berbanding RM158.4 bilion yang direkodkan pada Disember 2024.

“Nilai jualan industri berorientasikan eksport yang mewakili 70.2 peratus daripada jumlah jualan pula berkembang 5.1 peratus pada Januari daripada 7.1 peratus pada Disember.

“Pengembangan tersebut berkait rapat dengan peningkatan dalam pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan sebanyak 11.1 peratus daripada 17 peratus pada Disember,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, beliau berkata, pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal turut meningkat sebanyak 7.7 peratus berbanding 9.4 peratus, sementara pembuatan produk getah bertumbuh 8.9 peratus daripada 10.7 peratus pada Disember tahun lalu.

“Begitu juga, industri berorientasikan domestik meningkat sedikit sebanyak 0.1 peratus pada Januari 2025 setelah mencatatkan kenaikan 2.5 peratus pada Disember 2024.

“Prestasi ini disebabkan oleh penyusutan tahun ke tahun dalam pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler (-17.6 peratus).

“Bagaimanapun, ini diimbangi dengan pembuatan produk pemprosesan makanan yang mengekalkan pertumbuhan dua angka pada 10.4 peratus daripada 11.2 peratus pada Disember 202, pembuatan produk logam kecuali mesin dan kelengkapan (3.1 peratus) dan pembuatan minuman (9.1 peratus).

“Perbandingan bulan ke bulan, kedua-dua industri berorientasikan eksport dan domestik jatuh 0.2 peratus,” ujarnya.

Mengulas mengenai bilangan pekerja, Uzir Mahidin berkata, seramai 2.39 juta orang terlibat dalam sektor ini pada Januari 2025, bertambah 0.9 peratus daripada 1.0 peratus pada Disember 2024.

“Pertambahan ini didorong terutamanya oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau (2.0 peratus), produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (1.6 peratus) serta peralatan elektrik dan elektronik (0.6 peratus).

“Perbandingan bulan ke bulan, bilangan pekerja dalam sektor ini berkurang 0.2 peratus.

“Pada masa yang sama, gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan juga mencatatkan peningkatan 1.5 peratus daripada 1.7 peratus pada Disember, berjumlah RM8.5 bilion pada Januari 2025.

“Bagi perbandingan bulan ke bulan, gaji dan upah yang dibayar susut 4.6 peratus.

“Seterusnya, nilai jualan bagi setiap pekerja meningkat kepada RM66,011 (2.6 peratus), manakala purata gaji dan upah bagi setiap pekerja adalah RM3,540, meningkat 0.6 peratus tahun ke tahun,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya