PETALING JAYA: Perdagangan borong dan runcit memulakan 2025 dengan jumlah jualan sebanyak RM148.9 bilion pada Januari, merekodkan pertumbuhan 4.6 peratus tahun ke tahun, menurut Jabatan Perangkaan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan jualan bagi Januari didorong, terutamanya oleh subsektor perdagangan runcit dan perdagangan borong.
“Perdagangan runcit mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM66.1 bilion, meningkat RM5.0 bilion dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 8.2 peratus.
“Perdagangan borong pula mencatatkan jumlah jualan RM66.8 bilion, meningkat RM3.1 bilion, dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 4.9 peratus.
“Walau bagaimanapun, subsektor kenderaan bermotor mencatatkan jualan berjumlah RM16.0 bilion, menurun RM1.6 bilion atau -9.1 peratus tahun ke tahun berikutan prestasi luar biasa pada Disember 2024,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, perdagangan borong terus menunjukkan daya tahan pada Januari 2025, didorong oleh permintaan yang kukuh terhadap barangan keperluan pengguna.
“Jualan borong barangan isi rumah meningkat 5.3 peratus kepada RM13.9 bilion, terutamanya disokong oleh peningkatan jualan pakaian dan produk berkaitan farmasi.
“Jualan borong makanan, minuman dan tembakau turut mencatatkan peningkatan, iaitu 5.0 peratus kepada RM13.9 bilion, didorong oleh peningkatan penggunaan sempena musim perayaan.
“Pertumbuhan ini juga disokong oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang meningkat 2.6 peratus,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai subsektor perdagangan runcit, Uzir Mahidin berkata, subsektor itu disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat 9.7 peratus kepada RM25.5 bilion dan jualan runcit di kedai pengkhususan berkembang 8.3 peratus kepada RM14.0 bilion pada Januari.
“Lonjakan dalam aktiviti jualan runcit ini sebahagian besarnya didorong oleh sambutan perayaan Tahun Baru Cina dan musim cuti sekolah.
“Pada Januari juga Malaysia menjadi tuan rumah bagi sambutan Tahun Baru Cina yang pertama kali diadakan di luar China, sekali gus meningkatkan ketibaan pelancong dari negara tersebut dan memberi impak positif kepada aktiviti peruncitan.
“Selain itu, Jualan runcit bahan api kenderaan mencatat pertumbuhan 7.8 peratus kepada RM6.0 bilion, mencerminkan peningkatan aktiviti perjalanan.
“Sementara itu, jualan runcit barangan isi rumah meningkat 4.7 peratus kepada RM7.5 bilion, didorong oleh permintaan lebih tinggi terhadap produk peralatan rumah bersempena musim perayaan,” ujarnya.
Katanya, pada tempoh yang sama, jualan runcit barangan kesenian dan rekreasi meningkat 9.4 peratus kepada RM2.9 bilion, disokong oleh pembelian kelengkapan persekolahan menjelang sesi baharu pada Februari.
“Bagaimanapun, dalam tempoh yang sama, subsektor kenderaan bermotor mencatatkan penurunan dalam jualan berbanding Januari tahun lalu.
“Trend yang sama turut dilaporkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), yang merekodkan jualan sebanyak 48,732 kenderaan berbanding 66,923 kenderaan pada tahun lepas.
“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mencatatkan 53,930 pendaftaran kenderaan, lebih rendah berbanding 70,186 pendaftaran pada tahun lalu.
“Penurunan pembelian pada bulan ini sebahagiannya disebabkan oleh pembelian awal pada Disember yang lalu,” katanya. – UTUSAN