Jualan kenderaan menurun 27% pada Januari 2025 - Utusan Malaysia

Jualan kenderaan menurun 27% pada Januari 2025

TIV kenderaan pada Januari 2025 susut 27 peratus. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah volum industri (TIV) kenderaan di Malaysia mencatatkan penurunan 27 peratus tahun ke tahun pada Januari 2025 kepada 56,899 unit, dipengaruhi oleh jumlah hari bekerja yang lebih pendek susulan cuti Tahun Baharu Cina serta kesan asas tinggi dari Disember 2024.

CIMB Securities Sdn. Bhd. (CIMB Securities) berkata, menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jualan kenderaan penumpang dan komersial masing-masing merosot sebanyak 36.1 peratus dan 54.7 peratus tahun ke tahun serta lengeluaran kenderaan turut mencatatkan penurunan 26.2 peratus tahun ke tahun

“Segmen jenama nasional yang merangkumi Perodua dan Proton mencatatkan penurunan jualan sebanyak 23 peratus tahun ke tahun pada Januari 2025, manakala jenama bukan nasional mengalami penyusutan lebih ketara sebanyak 34 peratus tahun ke tahun.

“Ini menyaksikan pegangan pasaran jenama nasional meningkat 3.3 mata peratusan kepada 66.7 peratus.

“Perodua dan Proton masing-masing merekodkan penurunan jualan 21.7 peratus dan 27.5 peratus. Sebaliknya, jenama Chery mencatatkan pertumbuhan 6.5 peratus, disokong oleh kempen promosi agresif dan pelancaran model baharu seperti Jaecoo J7 pada separuh kedua 2024.

“Bagaimanapun, MAA menjangkakan jualan akan meningkat bulan ke bulan pada Februari 2025, didorong oleh pembelian kenderaan menjelang perayaan Aidilfitri,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Jelasnya, CIMB Securities menjangkakan penurunan lebih besar sebanyak tujuh peratus kepada 760,000 unit, dengan faktor utama termasuk kemungkinan pemansuhan subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun ini.

Jangkaan itu sedikit tinggi daripada ramalan TIV oleh MAA TIV bagi 2025 susut 4.5 peratus kepada 780,000 unit berikutan permintaan yang kembali normal serta pengurangan tunggakan tempahan.

CIMB Securities mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor automotif Malaysia berikutan prospek pertumbuhan yang sederhana serta persaingan sengit daripada jenama China.

Ketika ini, sektor automotif didagangkan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) wajaran 9.1 kali bagi tahun kalendar 2025, iaitu satu sisihan piawai di bawah purata lima tahunnya sebanyak 11.7 kali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya