PETALING JAYA: Inflasi Malaysia meningkat dengan kadar perlahan sebanyak 1.5 peratus pada Februari 2025 dengan mata indeks mencatatkan 134.1 berbanding 132.1 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, ia didorong oleh peningkatan lebih perlahan bagi kumpulan utama perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (2.3 peratus), rekreasi, sukan dan kebudayaan (1.5 peratus), kesihatan (1.0 peratus), pengangkutan (0.7 peratus) serta hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.3 peratus).
“Namun begitu, kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan, pendidikan dan insurans dan perkhidmatan kewangan masing-masing merekodkan peningkatan lebih tinggi berbanding bulan sebelumnya iaitu 3.7 peratus, 1.9 peratus dan 1.5 peratus.
“Bagi inflasi maklumat dan komunikasi menurun kepada negatif 5.3 peratus pada Februari, kadar yang sama direkodkan pada Januari.
“Penurunan ini disumbangkan oleh inflasi subkumpulan utama perkhidmatan maklumat dan komunikasi pada negatif 5.9 peratus. Pakaian dan kasut kekal berada pada jajaran negatif iaitu negatif 0.2 peratus berbanding negatif 0.3 peratus pada Januari 2025.
“Inflasi restoran dan perkhidmatan penginapan (3.5 peratus), makanan dan minuman (2.5 peratus) dan minuman alkohol dan tembakau (0.9 peratus) mencatatkan peningkatan yang sama seperti bulan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP meningkat 2.5 peratus pada februari 2025 berbanding 2.5 peratus pada Januari.
“Subkumpulan utama makanan di rumah meningkat 0.5 peratus berbanding 0.4 peratus pada bulan sebelumnya. Kelas perbelanjaan makanan sedia dimakan dan produk makanan lain tidak terkelas di tempat lain, 3.2 peratus daripada 2.9 peratus pada Januari 2025 merupakan penyumbang utama kepada peningkatan subkumpulan ini.
“Kenaikan harga santan segar dan Santan segera masing-masing sebanyak 27.0 peratus dan 8.7 peratus pada Februari 2025 berbanding 21.9 peratus dan 3.8 peratus pada Januari 2025 turut menyumbang kepada kenaikan inflasi Makanan di rumah.
“Kenaikan harga kelapa di pasaran Malaysia sejak Oktober 2024 bukan sahaja disebabkan oleh faktor pengurangan bekalan kelapa tempatan, malah melibatkan kekurangan bekalan dari seluruh dunia berikutan musim melawas kelapa.
“Sebanyak 650 tan metrik kelapa tua diimport oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk kegunaan masyarakat menjelang Ramadan dan Aidilfitri ini,” ujarnya. – UTUSAN