PETALING JAYA: Inflasi dijangka kekal terkawal dalam beberapa bulan akan datang, dengan purata jangka panjang sebanyak 2.0 peratus tahun ke tahun berdasarkan data sejarah dari Januari 2010 hingga Disember 2024, menurut TA Research.
Pada dua bulan pertama tahun ini, inflasi utama dan inflasi teras masing-masing mencatatkan purata 1.6 peratus dan 1.8 peratus tahun ke tahun yang mengukuhkan pandangan bahawa tekanan harga kekal rendah.
Firma penyelidikan berkata, trend ini menunjukkan bahawa inflasi yang didorong oleh permintaan masih terkawal, disokong oleh keadaan kos domestik yang stabil dan penurunan tekanan harga luar.
“Di samping itu, corak perbelanjaan pada bulan Mac mungkin akan sedikit menyimpang daripada trend ini.
“Musim perayaan dan persediaan untuk Aidilfitri biasanya akan mendorong peningkatan perbelanjaan pengguna, terutamanya dalam sektor runcit, makanan dan minuman.
Jelas TA Research, fenomena ini selaras dengan teori permintaan agregat, yang menyatakan bahawa tempoh aktiviti ekonomi yang meningkat, seperti cuti boleh menyebabkan peningkatan perbelanjaan keseluruhan apabila isi rumah memperuntukkan lebih banyak sumber untuk barang-barang dan perkhidmatan yang bersifat pilihan.
“Lonjakan bermusim ini mungkin akan menyebabkan kenaikan harga jangka pendek, terutamanya untuk barangan keperluan dan perkhidmatan berkaitan makan,” katanya.
Di luar kesan bermusim, terdapat risiko kenaikan inflasi yang masih wujud, termasuk rasionalisasi subsidi bahan api, pelarasan harga yang ditadbir dan kesan limpahan daripada kenaikan gaji sektor awam.
“Selain itu, harga komoditi global yang tidak menentu dan turun naik kadar pertukaran boleh memperkenalkan tekanan inflasi yang diimport, walaupun dengan impak yang tertangguh,” katanya.
Memandangkan trajektori inflasi semasa, kami mengekalkan pandangan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan OPR pada 3 peratus sepanjang tahun 2025, melainkan terdapat kejutan besar terhadap unjuran inflasi.
“Pada ketika ini, kami menjangkakan kadar inflasi sekitar 2.5 peratus hingga 3.5 peratus untuk 2025.
“Kami akan terus memantau perkembangan dalam Indeks Harga Pengguna (CPI) dan memberikan kemas kini jika perlu,” katanya.
Indeks Harga Pengguna (CPI) terus menunjukkan penurunan kepada 1.5 peratus tahun ke tahun pada bulan Februari, berkurangan daripada 1.7 peratus tahun ke tahun pada bulan Januari.
Walau bagaimanapun, dari segi bulanan, CPI meningkat sebanyak 0.4 peratus bulan ke bulan, mencatatkan kenaikan bulanan yang tertinggi sejak Februari 2024.
Penurunan tahunan ini sejajar dengan jangkaan, yang sebahagian besarnya didorong oleh kesan asas.
Pada Februari 2024, CPI meningkat sebanyak 1.8 peratus tahu ke tahun, 0.3 mata peratusan lebih tinggi berbanding bulan sebelumnya, yang secara semula jadi menyumbang kepada pengurangan kadar tahun ke tahun pada tahun ini.
Walau bagaimanapun, kenaikan bulanan ini menunjukkan adanya tekanan harga yang mendasari, yang mungkin mencerminkan peningkatan harga makanan selepas musim perayaan, pelarasan dalam caj perkhidmatan dan kesan limpahan daripada kenaikan kos sebelum ini. – UTUSAN