IMFC-J berjaya tarik RM11 bilion pelaburan berpotensi - Utusan Malaysia

IMFC-J berjaya tarik RM11 bilion pelaburan berpotensi

NOORAZAM OSMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pembukaan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) di Forest City sejak bulan lalu berjaya menarik minat kira-kira 24 pelabur berpotensi melibatkan pelaburan keseluruhan bernilai RM11 bilion.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Noorazam Osman berkata, peranan IMFC-J untuk membantu memudahkan pelabur memasuki Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Sejak IMFC-J dibuka, sebanyak 142 pertanyaan diterima pihaknya berhubung peluang pelaburan serta zon ekonomi khas tersebut.

“Sebanyak 80 peratus daripada pertanyaan yang diterima IMFC-J adalah membabitkan syarikat di Singapura, Korea Selatan dan Eropah. Daripada jumlah itu, sebanyak 24 daripada pertanyaan diterima adalah pelabur berpotensi yang serius untuk melabur,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Media Johor di Hotel Opero, di sini semalam.

Pejabat IMFC-J, yang terletak di Menara Delima Satu di Forest City telah dirasmikan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pada 18 Februari lalu.

Pusat itu bertujuan untuk menarik dan memudahkan pelaburan berimpak tinggi merentasi pelbagai sektor dengan menyasarkan 50 hingga 100 projek dibangunkan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Noorazam berkata, IRDA memainkan peranan penting untuk menyelia keseluruhan agenda pembangunan Iskandar Malaysia selain membantu menangani kelemahan dalam perkembangan kawasan koridor tersebut.

Menurutnya, IRDA akan terus menyediakan maklumat terkini tentang situasi sebenar untuk meningkatkan keyakinan pelabur dan penduduk tempatan kerana mereka mahu mencapai keseimbangan dan bukannya memberi tumpuan terhadap pelaburan semata-mata.

“Penduduk tempatan perlu tahu apa manfaat dan limpahan ekonomi yang diterima mereka dalam pembangunan zon ekonomi tersebut, penting bagi penduduk tempatan untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem perniagaan.

“Kami mahu industri tempatan atau pelabur turut mendapat manfaat dan kami tidak mahu sesiapa pun ketinggalan,” katanya.

Beliau yakin IRDA masih dan akan terus relevan serta menjadi pemikir strategik dan jambatan antara kerajaan negeri dan Persekutuan, terutamanya dengan pelaksanaan JS-SEZ. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya