PETALING JAYA: IJM Corporation Bhd (IJM Corp) membida enam projek pusat data berskala besar bernilai keseluruhan sehingga RM12 bilion dengan keputusan tender dijangka diumumkan dalam tempoh enam bulan akan datang, menurut Penganalisis CIMB Securities.
Mak Hoy Ken berkata bidaan IJM Corp itu jelas membuktikan kumpulan kekal optimis dengan perkembangan pusat data, meskipun terdapat dasar ketat membabitkan kecerdasan buatan (AI) yang dilaksanakan Amerika Syarikat (AS).
“Walaupun terdapat pelaksanaan dasar penyebaran AI oleh kerajaan AS, IJM Corp tetap optimis terhadap pusat data dan telah menyertai enam bidaan berskala besar bernilai kira-kira RM2 bilion setiap satu dengan keputusan tender dijangka diumumkan dalam tempoh satu hingga dua suku tahun akan datang,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
AS mula melaksanakan sekatan besar-besaran ke atas China bermula Oktober 2022 dengan mengenakan larangan eksport cip AI berprestasi tinggi seperti Nvidia A100 dan H100, termasuk menyekat penghantaran peralatan pembuatan cip kepada syarikat China.
Pada Oktober 2023, AS meluaskan mengetatkan lagi sekatan ke atas versi cip yang diubah suai untuk China (seperti Nvidia H800 & A800) dengan sekatan itu menyasarkan pusat data AI untuk menghalang latihan model AI berskala besar di China.
Sementara itu, IJM Corp mengembangkan kehadirannya di United Kingdom (UK) melalui projek Royal Mint Gardens (RMG) Fasa 2 serta pemerolehan bangunan Finsbury Circus yang baharu.
“Bersama dengan cadangan pengambilalihan 50 peratus kepentingan dalam pembangun UK, JRL Group (yang juga menjadi kontraktor utama untuk RMG Fasa 1 dan 2), kedua-dua projek hartanah ini akan melengkapkan kerjasama berterusan IJM Corp dengan Network Rail Property dalam pembangunan bercampur di atas landasan kereta api di pelbagai lokasi di London Tengah dengan nilai pembangunan kasar gabungan sebanyak £3 bilion (kira-kira RM17 bilion).
“Projek ini adalah sebahagian daripada rancangan besar IJM Corp untuk membangun, mewujudkan dan menjana pulangan daripada aset infrastruktur serta pelaburan hartanah yang bernilai tinggi serta memberikan aliran pendapatan berulang,” katanya.
Mengenai projek Transit Aliran Massa 3 (MRT 3), Hoy Ken berkata IJM Corp menekankan bahawa proses tender dijalankan secara terbuka dan kompetitif, menarik penyertaan kontraktor utama tempatan serta asing.
“IJM Corp menyatakan bahawa proses tender yang telus itu kini telah dibatalkan berikutan keputusan kerajaan untuk menangguhkan projek terbabit,” katanya.
Dari segi operasi, beliau berkata, asas IJM Corp kekal kukuh, dengan tumpuan yang jelas pada pelaksanaan projek dan penciptaan nilai.
“Namun, dengan kurang daripada sebulan sebelum tahun kewangan semasa berakhir, terdapat kemungkinan besar bahawa kumpulan tidak akan mencapai sasaran kontrak pesanan baharu sebanyak RM5 bilion, dengan nilai setakat tahun kewangan 2025 adalah RM2.7 bilion.
“Kegagalan mencapai sasaran bagi tahun kewangan 2025 ini sebahagian besarnya disebabkan oleh kelewatan dalam penganugerahan dua projek utama, iaitu projek perumahan awam di Nusantara dan sambungan Lebuhraya Pantai Baharu (NPE),” katanya.
Dalam pada itu, menuju kepada tahun kewangan 2026 berkata, prospek kontrak dalam tangan IJM Corp kelihatan lebih baik disokong rundingan bagi sambungan NPE dianggarkan bernilai RM1.4 bilion yang dijangka dimuktamadkan dalam tempoh dua bulan selepas semua kelulusan berkaitan diperoleh.
NPE 2 adalah sebahagian daripada rancangan pembangunan bandar Kuala Lumpur, bertindak sebagai sistem penyuraian trafik yang menghubungkan lebuh raya lain.
IJM Corp juga sedang membida beberapa projek infrastruktur awam utama, termasuk segmen kedua LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang (Macallum ke Penang Sentral), pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, serta beberapa projek di Sarawak.
Bagi sektor swasta, IJM terus berusaha mendapatkan kontrak pembinaan untuk kilang dan gudang bernilai tinggi. – UTUSAN