HI Mobility Berhad sasar raih RM115.9 juta menerusi IPO - Utusan Malaysia

HI Mobility Berhad sasar raih RM115.9 juta menerusi IPO

LIM Chern Chuen (dua kiri) semasa sidang akhbar Majlis Prospektus Penyenaraian HI Mobility Berhad di sini, hari ini. UTUSAN/SABRINA ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: HI Mobility Berhad, penyedia perkhidmatan bas rentas sempadan menyasarkan untuk meraih RM115.9 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Syarikat dijangka disenaraikan pada 28 Mac ini.

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif HI Mobility, Lim Chern Chuen berkata, hasil tersebut akan digunakan untuk mengukuhkan keupayaan terasnya dalam menyediakan perkhidmatan bas rentas sempadan dan tempatan dengan memperluaskan armada kenderaan, depoh, serta infrastruktur digital bagi menyokong pertumbuhan perniagaan di Malaysia.

“Kami memberi tumpuan kepada pembangunan sistem pengangkutan awam yang mudah diakses dan cekap melalui teknologi.

“Infrastruktur digital kami meningkatkan kecekapan operasi, membantu mengurus kos, memastikan keselamatan pemandu, serta menggalakkan penglibatan pelanggan bagi membina kesetiaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran prospektus HI Mobility di sini, hari ini.

IPO ini melibatkan terbitan awam sebanyak 95 juta saham baharu pada harga RM1.22 sesaham, serta tawaran untuk penjualan 35 juta saham sedia ada.

Menurut prospektus, sebanyak RM70 juta atau 60.4 peratus daripada hasil yang diperoleh akan diperuntukkan untuk pengembangan armada bas, termasuk pemerolehan bas elektrik dan bas berenjin pembakaran dalaman.

Sebanyak RM15 juta (12.9 peratus) lagi akan digunakan untuk pengembangan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik, dengan pemasangan dirancang di pelbagai depoh dan laluan.

“Sejajar dengan strategi peningkatan teknologi kami, sebanyak RM5 juta (4.4 peratus) daripada hasil IPO akan dilaburkan dalam peningkatan perkakasan, termasuk integrasi kecerdasan buatan bagi mempertingkatkan pemantauan kenderaan dan pengurusan pemandu, serta inisiatif lain.

“Baki RM25 juta (22.3 peratus) akan digunakan untuk modal kerja dan menampung perbelanjaan penyenaraian,” menurut prospektus.

Mengulas mengenai pertumbuhan syarikat, Lim berkata, perkhidmatan rentas sempadan telah mencatatkan pertumbuhan sebanyak 10 peratus tahun lalu yang didorong oleh usaha kerajaan untuk meningkatkan kerjasama rentas sempadan.

“Pembangunan Zon Ekonomi Khas (SEZ) di wilayah selatan akan membawa lebih banyak perdagangan dan kerjasama antara Malaysia dan Singapura, sekali gus meningkatkan keperluan terhadap perkhidmatan bas rentas sempadan,” katanya.

Permohonan awam bagi saham IPO dibuka hari ini dan akan ditutup pada pukul 5 petang pada 19 Mac 2025.

Maybank Investment Bank Bhd merupakan penasihat utama, ejen penempatan tunggal, dan penaja jamin tunggal bagi IPO ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya