PETALING JAYA: Indeks harga seunit besi merekodkan penurunan antara 0.5 peratus hingga 1.6 peratus pada Februari 2025, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan tertinggi bagi indeks harga bahan ini direkodkan di kawasan Tawau (-1.6 peratus), diikuti dengan Perak (-1.4 peratus) dan Pulau Pinang, Kedah & Perlis (-1.2 peratus).
Katanya, indeks harga seunit keratan keluli dan logam juga mencatatkan penurunan kecil iaitu antara 0.1 peratus hingga 2.7 peratus bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada Februari 2025 berbanding bulan lepas.
“Penurunan tertinggi bagi indeks harga seunit besi direkodkan di Miri (-2.7 peratus), diikuti dengan Perak (-2.3 peratus) dan Terengganu & Kelantan (-0.4 peratus).
“Selain itu, indeks harga seunit simen merekodkan peningkatan kecil iaitu antara 0.1 peratus hingga 2.6 peratus pada Februari 2025 berbanding bulan lepas.
“Peningkatan tertinggi direkodkan di Tawau (2.6 peratus), diikuti dengan Sandakan (1.8 peratus) dan Sibu (1.1 peratus),” katanya dalam kenyataan.
Dalam tempoh yang sama, beliau berkata, indeks harga seunit pasir kekal tidak berubah bagi kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, perbandingan tahunan untuk tempoh Februari 2024 dan Februari 2025 menunjukkan bahawa indeks harga seunit simen merekodkan peningkatan antara 0.2 peratus hingga 4.0 peratus bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Peningkatan tertinggi bagi indeks ini dicatatkan di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan dan Sandakan (masing-masing 4.0 peratus), diikuti dengan Pahang (3.3 peratus) dan Tawau (2.6 peratus).
“Namun begitu, perbandingan tahunan indeks harga seunit besi pula mencatatkan penurunan antara negatif 3.0 peratus hingga negatif 15.3 peratus pada Februari 2025 berbanding bulan yang sama tahun lalu bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Penurunan tertinggi bagi indeks harga seunit besi direkodkan di Perak (-15.3 peratus),” ujarnya.
Beliau berkata, purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars mencatatkan penurunan (-0.5 peratus) dengan purata harga RM3,545.15 bagi setiap tan metrik berbanding bulan sebelumnya (Januari 2025: RM3,563.76 per tan metrik).
“Selain itu, purata harga simen Ordinary Portland pada Februari 2025 merekodkan peningkatan sebanyak 1.1 peratus, dengan purata harga RM23.60 per 50 kilogram (kg) sekarung berbanding Januari 2025 (RM23.34 per 50 kg sekarung).
“Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) termasuk bar keluli mengikut kategori bangunan dan kawasan di Semenanjung Malaysia mencatatkan penurunan antara negatif 0.2 peratus hingga negatif 0.8 peratus pada bulan Februari 2025 berbanding bulan sebelumnya.
“Penurunan ini dicatatkan bagi hampir semua kategori bangunan dan kawasan kecuali di Johor, Pahang dan Terengganu & Kelantan,” ujarnya.
Tambahan itu, Mohd Uzir berkata, IKB termasuk bar keluli di Sabah menunjukkan peningkatan antara 0.1 peratus hingga 1.8 peratus bagi semua kategori bangunan di Kota Kinabalu dan Sandakan pada Februari 2025 berbanding bulan sebelumnya.
“Sementara itu, IKB di Tawau pula telah merekodkan penurunan kecil iaitu antara negatif 0.1 peratus hingga negatif 1.2 peratus bagi hampir semua kategori bangunan kecuali peningkatan kecil bagi IKB kategori cerucuk konkrit tetulang (0.1 peratus).
“Perbandingan bulanan IKB termasuk bar keluli di Sarawak pada Februari 2025 mencatatkan peningkatan kecil antara 0.1 peratus hingga 0.5 peratus bagi hampir semua kategori bangunan di Sibu,” jelasnya.
Selain itu, beliau berkata, IKB termasuk bar keluli bagi hampir semua kategori bangunan di Kuching kekal tidak berubah berbanding bulan sebelumnya.
“Sementara itu, IKB termasuk bar keluli di Miri pula merekodkan penurunan antara negatif 0.3 peratus hingga negatif 0.8 peratus bagi hampir semua kategori bangunan kecuali indeks bagi bangunan kayu dan cerucuk kayu,” katanya. – UTUSAN