CUCKOO Malaysia sasar raih RM185 juta menerusi IPO - Utusan Malaysia

CUCKOO Malaysia sasar raih RM185 juta menerusi IPO

Hoe Kian Choon (empat dari kiri) bersama barisan pengurusan tertinggi menunjukkan prospektus IPO semasa pelancaran prospektus Tawaran Awam Permulaan (IPO) Cuckoo International sempena pelancaran prospektus di Petaling Jaya, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: CUCKOO International (MAL) Bhd (CUCKOO Malaysia), unit tempatan bagi pengeluar peralatan Korea Selatan, CUCKOO Homesys Co, Ltd. menyasarkan untuk meraih RM185 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Syarikat akan menerbitkan sebanyak 143.28 juta saham baharu pada harga IPO RM1.29 sesesaham.

Penyenaraiannya dijadualkan pada 30 April ini, dengan jangkaan permodalan pasaran sebanyak RM1.85 bilion.

Dana yang diperoleh daripada IPO itu akan menyokong rancangan pertumbuhan CUCKOO Malaysia, dengan 56.7 peratus diperuntukkan untuk mengembangkan perniagaan penyewaannya dan 21.6 peratus diperuntukkan untuk pembayaran balik pinjaman bank.

Baki selebihnya akan digunakan untuk pembukaan CUCKOO Brandshops, peningkatan sistem teknologi maklumat, pengembangan ke Singapura, serta menampung anggaran kos penyenaraian.

Pegarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif, Hoe Kian Choon berkata, dengan hasil daripada IPO, syarikat berhasrat untuk mengukuhkan kedudukan pasaran dengan memperluas rangkaian produk dan perkhidmatan.

“Pembangunan segmen perniagaan dan penawaran kami dipacu komitmen untuk memupuk gaya hidup yang lebih sihat bagi pelanggan menerusi model perniagaan yang berkesan. Ini menjadikan ekosistem kesejahteraan holistik kami lebih mudah diakses dan mampu milik. Kami percaya faktor ini telah membawa kepada kejayaan syarikat sepanjang tahun.

“Syarikat merancang untuk mencapai matlamat dengan menambah unit penyimpanan stok (SKU) produk serta perkhidmatan penjagaan rumah bagi menyokong pertumbuhan dalam kategori sedia ada, sambil menembusi segmen pelanggan baharu,” katanya semasa pelancaran prospektus CUCKOO International, di sini semalam.

Kian Choon berkata, IPO bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, pihaknya akan melabur dalam logistik dan pengurusan gudang, dengan sasaran untuk meningkatkan kapasiti penghantaran daripada 31 peratus kepada 83 peratus menjelang akhir 2025.

“Kami juga sedang melaksanakan sistem kod bar, pengesanan produk automatik, menaik taraf pelayan fizikal bagi menyelaraskan operasi gudang dan meningkatkan penjejakan inventori,” katanya.

Katanya, syarikat juga akan memperluas pusat perkhidmatan CUCKOO+ daripada 27 kepada 52 menjelang 2026, selain meningkatkan pusat latihan daripada 149 kepada 202 bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan.

“Kami juga bercadang untuk menambah unit penyimpanan stok (SKU) produk serta perkhidmatan penjagaan rumah bagi menyokong pertumbuhan dalam kategori sedia ada, sambil mencapai segmen pelanggan baharu.

“Dengan permintaan pengguna yang semakin meningkat terhadap penyelesaian rumah pintar dan perkhidmatan berasaskan langganan, kami melihat potensi besar dalam pengembangan portfolio produk serta tawaran penyewaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN