Chemlite Innovation mula disenarai di Pasaran ACE bawah harga IPO - Utusan Malaysia

Chemlite Innovation mula disenarai di Pasaran ACE bawah harga IPO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Chemlite Innovation Bhd, penyedia perkhidmatan sokongan kejuruteraan yang mengkhusus dalam rawatan kemasan permukaan, membuat penampilan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities pada harga 23 sen sesaham, lebih rendah daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 25 sen sesaham.

Pada pembukaan, sebanyak 5.14 juta saham bertukar tangan.

Chemlite Innovation berjaya mengumpul RM45 juta melalui IPO dengan peruntukkan utama untuk pengembangan operasi termasuk pembelian fasiliti baharu dan pembinaan kemudahan di Pulau Pinang, penubuhan bilik bersih (cleanroom) bagi menyokong keperluan pelanggan industri semikonduktor dan elektronik dan penambahan kapasiti operasi di Malaysia.

Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Chemlite, Choo Yih Woei, berkata penyenaraian ini membolehkan syarikat meningkatkan keupayaannya, memperluaskan jangkauan pasaran, dan memberikan nilai tambah yang lebih besar kepada pelanggan.

Beliau menegaskan bahawa syarikat kekal komited untuk memperkukuh kepakaran teknikal, mengekalkan standard industri tertinggi, serta meletakkan Chemlite sebagai peneraju dalam penyelesaian rawatan kemasan permukaan.

“Penyenaraian hari ini merupakan pencapaian penting bagi Chemlite, yang mencerminkan hasil daripada tahun-tahun dedikasi, pandangan strategik, dan ketekunan kolektif.

“Kemasukan kami ke pasaran modal membuka lembaran baharu yang lebih menarik bagi Chemlite, lembaran yang dipenuhi dengan peluang lebih besar, cakrawala lebih luas, dan jangkaan yang lebih tinggi,” katanya dalam sidang media secara maya selepas penyenaraian syarikat itu di Bursa Malaysia.

Mengulas mengenai perancangan masa depan, beliau berkata syarikat akan membina dua bilik bersih bagi menyediakan perkhidmatan pembersihan dan pembungkusan tanpa pencemaran kepada pelanggan yang memerlukan persekitaran terkawal.

“Selain itu, Chemlite Innovation juga akan melabur dalam mesin automasi dan peralatan bagi meningkatkan keupayaan operasinya, serta menubuhkan jabatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk memacu inovasi dalam perkhidmatan rawatan permukaan.

“Dalam usaha memperkukuh kedudukan kewangan, syarikat turut memperuntukkan sebahagian daripada hasil IPO untuk pembayaran pinjaman bank, selain meningkatkan modal kerja bagi menyokong pertumbuhan operasi,” katanya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd, Anne Leh, berkata kejayaan penyenaraian Chemlite Innovation mencerminkan asas perniagaan yang kukuh serta hala tuju strategik syarikat yang mampan.

“Komitmen syarikat terhadap inovasi dan kualiti telah meletakkannya dalam kedudukan yang kukuh untuk pertumbuhan jangka panjang, dan kami berbangga dapat menyokong perjalanannya sebagai entiti tersenarai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya