CEO Ekunias lepas jawatan, Aliff Omar jadi pemangku

CEO Ekuinas lepas jawatan, Aliff Omar jadi pemangku

SYED YASIR ARAFAT SYED ABD KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) mengumumkan Datuk Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir akan melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pada 31 Mac 2025, selepas menamatkan tempoh perkhidmatannya selama 15 tahun, termasuk sembilan tahun sebagai CEO.

Sejak menerajui Ekuinas pada tahun 2016, Syed Yasir Arafat memainkan peranan penting dalam transformasi Ekuinas sebagai sebuah firma ekuiti persendirian terkemuka, menguruskan dana di bawah pengurusan berjumlah RM4.0 bilion dan melaksanakan pelaburan langsung berjumlah RM5.6 bilion dalam 28 buah syarikat. 

Beliau juga telah menerajui penubuhan Dana Asas, sebuah dana ekuiti persendirian yang memfokuskan kepada syarikat bumiputera pasaran pertengahan berpertumbuhan tinggi serta memperkenalkan Kredit Persendirian sebagai kelas aset pelaburan baharu.

Syed Yasir Arafat berkata, satu penghormatan besar untuk menerajui Ekuinas dalam perjalanannya menjadi sebuah institusi pelaburan yang berfokus kepada prestasi dan berorientasikan matlamat. 

“Bersama pasukan pengurusan dan kakitangan yang berkaliber, kami telah membangunkan sebuah platform yang bukan sahaja mencipta nilai, malah mendorong impak jangka panjang yang inklusif untuk Malaysia. Saya amat berbangga dengan pencapaian kami,” katanya dalam kenyataan.

Selaras dengan pelan peralihan kepimpinan jangka panjang Ekuinas, Aliff Omar Mohamad Omar, yang kini memegang jawatan Pengarah Kanan, Pelaburan akan mengambil alih sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif. 

Sejak menyertai Ekuinas pada tahun 2017, Aliff Omar telah menaiki tangga kepimpinan dalam tempoh singkat di dalam organisasi dan merupakan sebahagian daripada pasukan kepimpinan utama, bekerjasama rapat dengan Syed Yasir Arafat dalam aspek strategi dan penciptaan nilai. 

Dengan pengalaman lebih daripada 16 tahun dalam bidang kewangan korporat, penggabungan dan pengambilalihan (M&A) serta pasaran modal, Aliff Omar telah menerajui pelbagai transaksi berimpak tinggi di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

Pengerusi Ekuinas, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata, sebagai seorang daripada anggota perintis Ekuinas, Syed Yasir Arafat meninggalkan legasi kepimpinan dan visi yang besar. 

“Komitmen beliau dalam membina pemimpin masa hadapan telah menjadi faktor utama dalam menyediakan Aliff untuk peralihan ini. 

“Lembaga Pengarah yakin sepenuhnya dengan keupayaan Aliff Omar untuk menerajui Ekuinas ke fasa pertumbuhan yang seterusnya, sambil mengekalkan nilai teras firma ini,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya