Capital A sasar keluar status PN17 Mei ini - Utusan Malaysia

Capital A sasar keluar status PN17 Mei ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Capital A Berhad menyasarkan untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17) pada Mei ini selepas menerima kebenaran Bursa Malaysia untuk pelan penyusunan semulanya pada Jumaat lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tony Fernandes berkata, pemegang saham dan pelabur boleh menjangkakan pemulihan kukuh selepas Mei, dengan 2025 bakal menjadi titik perubahan penting bagi kumpulan.

“Saya berharap 30 April (untuk mengangkat status PN17). Itu hari lahir saya, tetapi saya tidak fikir kita akan berada di sana, mungkin beberapa minggu kemudian.

“Jadi, kami fikir menjelang Mei, Capital A akan keluar dari PN17 sepenuhnya. Itu sasaran kami,” katanya dalam sesi taklimat bersama media berhubung Pelan Regularisasi Capital A di ibu pejabatnya, RedQ di sini semalam.

Beliau berkata, syarikat dapat melihat dengan jelas ke arah mana syarikat ini akan pergi pada tahun ini serta 2026 dan pihaknya percaya boleh mencapai kejayaan terbaik.

Jumaat lepas, Bursa Malaysia Securities Bhd. telah meluluskan pelan penstrukturan semula Capital A, yang menandakan satu langkah penting bagi syarikat itu untuk keluar daripada status PN17.

PN17 merupakan klasifikasi yang diberikan oleh Bursa Malaysia kepada perusahaan yang mengalami masalah kewangan serius.

Berdasarkan pelan berkenaan, Capital A akan memfokuskan kepada perniagaan bukan penerbangan, sambil memegang 18 peratus pegangan dalam AirAsia X, yang terdiri daripada AirAsia Berhad dan AirAsia Aviation Group Limited.

Ia akan memfokuskan kepada potensi pertumbuhan enam entiti di bawahnya, iaitu Asia Digital Engineering (ADE), Teleport (Logistics), AirAsia MOVE, Santan, BigPay dan Abc. International, seterusnya bergerak ke arah penyenaraian secara berasingan.

“Saya tidak begitu percaya dengan konsep konglomerat, Santan dan AirAsia MOVE misalnya tidak memiliki banyak persamaan dan pelabur biasanya akan melihat kepada segmen berlainan sama ada mereka mahu melabur dalam sektor logistik, pengguna dan sebagainya.

“Akhirnya akan ada enam syarikat berbeza dan semua perniagaan ini sedang mencari pelaburan yang akan dimulakan dengan penempatan swasta, sebelum melakukan IPO (tawaran awam permulaan),” ujarnya.

Mengulas mengenai polisi dividen bagi Capital A dan AirAsia X, Tony berkata, beliau melihat kedua-dua saham itu sebagai saham pertumbuhan dan bukannya memfokuskan kepada dividen.

“Dividen bukan keutamaan dalam masa terdekat, Capital A akan memfokuskan kepada pertumbuhan dengan melaburkan semula keuntungan, manakala bagi segmen penerbangan keutamaannya adalah untuk membayar hutang disebabkan Covid-19,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya