CAB buka cawangan Home Mart ke-15 di Pulau Pinang - Utusan Malaysia

CAB buka cawangan Home Mart ke-15 di Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: CAB Cakaran Corporation Berhad (CAB), salah satu pengeluar makanan terbesar di Malaysia, membuka pasar raya bersaiz sederhana ke-15 miliknya, Home Mart Fresh & Frozen Sdn. Bhd., di Sri Rambai, Pulau Pinang, baru-baru ini.  

Ketika ini, CAB Cakaran memiliki lapan cawangan Home Mart dan tujuh cawangan Pasaraya Jaya Gading Sdn. Bhd. Home Mart dimiliki sepenuhnya oleh CAB Cakaran, manakala, Jaya Gading berada di bawah kawalan 58.02 peratus syarikat itu.

Pengarah Urusan Kumpulan CAB Cakaran, Christopher Chuah Hoon Phong berkata, strategi jangka panjang kumpulan adalah membina rangkaian luas cawangan ini di seluruh semenanjung sebagai salah satu saluran pengedaran produk syarikat.

“Melalui cawangan runcit ini, kami mampu menjual kira-kira 200 ekor ayam bagi setiap cawangan setiap hari.

“Kami melihat pemilikan cawangan runcit ini sebagai langkah berkesan untuk mengukuhkan kehadiran dalam industri makanan. 

“Matlamat jangka panjang kami adalah membuka 50 hingga 100 cawangan baharu dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan. 

CAB Cakaran merancang untuk membuka lima hingga tujuh lagi cawangan Home Mart tahun ini, bergantung kepada kejayaan mendapatkan lokasi yang sesuai. 

Kawasan yang menjadi tumpuan pembukaan baharu ini adalah di luar bandar di Semenanjung Malaysia.   

Ketika ini, kesemua 15 cawangan Home Mart dan Jaya Gading terletak di Pahang, Kelantan, Perak, Pulau Pinang dan Kedah. 

Sebahagian besar cawangan ini beroperasi di dua hingga tiga lot kedai untuk menampung kemudahan bilik sejuk dan barangan segar.  

CAB Cakaran mula menceburi perniagaan pasar raya pada 2010 untuk memenuhi permintaan di kawasan luar bandar, di mana akses kepada makanan segar berkualiti dan pengalaman membeli-belah yang selesa masih terhad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya